Patutlah tak gebu macam di kedai, rupanya ada cara elak pau kempis ketika dikukus

Oleh WAN SITI AMINAH

Pau merupakan sejenis kuih tradisional yang diperbuat daripada tepung dan yis, diuli sebelum dibentuk bulat-bulat serta mempunyai inti di dalamnya.

Terdapat pelbagai jenis rasa dan inti kuih pau dijual di pasaran tempatan antaranya adalah isi daging, ayam, coklat, kari, kacang merah, mentega kacang dan lain-lain.

Walaupun cara penyediaannya tidaklah terlalu susah, namun ada petua yang perlu diikuti untuk memastikan bentuk kuih tersebut menjadi gebu dan bertekstur lembut.

Berikut kami kongsikan petua untuk menghasilkan kuih pau gebu dan tidak mengecut berdasarkan hantaran Martha Beaa yang turut berbagi resepi pau pandan inti coklat.

“Jangan selalu buka dan tutup kukusan. Nanti pau akan kempis sebab tekanan udara di luar dan dalam kukusan berbeza. Penutup kukusan juga perlu dibalut dengan kain supaya wap air tidak mengempiskan kuih.

“Pau pandan inti coklat yang gebu-gebas macam kapas. Resepi ini tersangat mudah dan rasanya juga begitu lembut dan sedap. Kegemaran orang-orang di rumah,” katanya dalam satu hantaran di kumpulan Facebook Masak Apa Hari Ni (MAHN).

Bahan-bahan membuat pau:

  • 250 gram tepung gandum
  • Satu butir telur
  • Satu sudu teh ragi (ibu roti)
  • 90 milimeter santan kotak
  • Tiga sudu makan gula
  • Satu perempat sudu perasa pandan
  • Marjerin
  • Satu perempat sudu garam

Langkah-langkah membuat pau

1. Campurkan tepung gandum, gula, telur, ragi (ibu roti), santan dan garam di dalam satu bekas. Kemudian ulikan sehingga semua bahan menyatu.

2. Selepas itu, campurkan marjerin dan sambung menguli sehingga tiada lagi adunan melekat pada tangan.

3. Bulatkan adunan dan letakkan di dalam bekas yang bertutup. Kemudian tutupkan atau rehatkan adunan pau selama 30 minit.

4. Tumbuk adunan untuk membuang angin dan bahagikan kepada bulatan-bulatan kecil masing-masing sekitar 60 gram.

5. Lalu rehatkan pula adunan (proofing) kecil itu selama 30 atau 45 minit bergantung kepada suhu bilik.

6. Kemudian kukuskan adunan pau dalam periuk kukus yang telah dididihkan terlebih dahulu selama 15 minit. Tetapkan api kepada suhu sederhana, cenderung kecil.

Baca juga: Lapar sangat tapi nasi tak masak lagi? Guna taktik ni jimat masa!