Rakaman kamera papan pemuka (dashcam) yang memaparkan seorang penunggang motosikal tercampak setelah sebuah tayar lori tiba-tiba melayang ke arahnya, tular di media sosial.
Rakaman itu dikongsikan di sebuah kumpulan Facebook.
Kejadian itu difahamkan berlaku di Simpang Taman Bukit Seputeh berdekatan pusat beli-belah Mid Valley.
Menerusi rakaman tersebut, sebuah tayar lori tiba-tiba melayang ke arah penunggang motosikal tersebut yang berada di lorong tengah.
Akibat kejadian itu, mangsa tercampak ke atas jalan raya diikuti dengan motosikalnya berpusing beberapa kali.
Kelihatan tayar ‘terbang’ itu juga menghentam bahagian depan kenderaan pemilik video dashcam yang turut berada di lorong tengah.
Tidak dapat dipastikan keadaan penunggang itu, namun menurut laporan media, penunggang motosikal tersebut terselamat.
Difahamkan dia mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian termasuk kepala.
Pemilik kenderaan tersebut yang dikenali sebagai Elmi dalam ciapannya di X berkata, dia bernasib baik sempat mengelak mangsa tersebut ketika tercampak di hadapan kenderaannya.
“Ni ‘dashcam’ kereta aku ni, ada ‘business card’ aku atas ‘dashboard’. Semalam nasib baik aku sempat elak.
“Kalau aku punya respon teruk, mungkin tayar kereta aku dah gilis ‘brader’ tu atau tayar lori tu dah kena dekat aku.Syukur hidup lagi ‘brader’ tu dengan aku harini.
“Dia (mangsa) tanya mana spek dia. Kitorang cari atas jalan, jumpa. Bagi dia spek dia. Dia pegang spek dia, tapi dia masih tanya soalan mana spek saya tu 30 kali,” ciapnya.
Baca juga: Bekas makanan berbau? Jangan buang! Ikuti tips ni, jimat duit