“Aku penat jaga anak, suami pula layan macam bibik sampai ‘flush’ tandas pun tak reti”

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang wanita menyesali tindakannya mendengar cakap suami untuk melupakan kerjaya dengan berhenti berkerja di sebuah syarikat besar dan menjadi suri rumah.

Tidak hanya dilayan seperti pembantu rumah oleh suami, wanita itu juga perlu menjaga dua orang anaknya malah salah seorang daripadanya juga menghidap penyakit kronik.

Menyimpan niat untuk bercerai, berikut perkongsian isteri yang sudah tawar hati namun terpaksa menangguhkan niatnya itu ekoran tidak berjaya mendapatkan pekerjaan.

“Umurku sudah masuk 40-an, sudah menjadi suri rumah selama sembilan tahun. Aku nak bercerai, tetapi tiada pekerjaan. Tiga tahun aku cari kerja namun panggilan temu duga pun tak dapat. Aku tertekan sangat. Sudah tak boleh terus hidup dengan suami yang asyik buat hal. Aku ada degree kelas pertama, pernah bekerja sebelum ini.

“Tetapi aku berhenti daripada sebuah syarikat terkenal tanpa kerelaan. Suami suruh aku jaga anak sahaja dekat rumah. Ketika itu, aku baru habis cuti berpantang. Anak aku mak mentua yang sukarela nak jagakan. Budak itu badannya semangat. Debab, tembam dan comel. Baru umur tiga bulan, nak dekat 9 kilogram (kg) beratnya.

“Disebabkan badannya yang comel, mak mentua tak larat nak mandikan anak aku. Dia cuma lap-lap sahaja. Apabila balik kerja, anak aku tak bersih. Daki sentiasa ada di pelipat badannya. Najis pun tak dibersihkan dengan betul. Oh ya. Anak aku dijaga oleh ibu mentua dengan bantuan kakak ipar. Dia di rumah sebab tiada kerja.

“Jadi aku berikan mereka berdua upah sekali sebab jagakan anak. Tetapi aku sedih sebab setiap kali balik kerja, budak itu kotor. Mereka tak berani nak mandikan anak aku sebab takut jatuh katanya. Jadi aku terpaksa berhenti kerja dengan dua minggu notis. Sejak itu, bermulalah aku sebagai suri rumah yang menyedihkan.

“Aku gembira sahaja jaga mereka, yang sulung dengan si bayi. Penat memang penat. Nak dijadikan cerita waktu aku jaga anak yang bayi ini, rasa pelik dan perasan kulit dia selalu biru-biru. Selepas buat pemeriksaan, doktor beritahu bayi aku sawan dan disahkan ada penyakit otak. Aku reda. Tak fikir nak kerja balik apabila mereka besar.

“Sebabnya anak aku keluar masuk hospital, tebuk itu dan ini. Pendekkan cerita, aku dengan penat jaga anak dan kemas rumah tetapi suami buat hal. Dia seronok betul layan video tak senonoh dekat pejabat. Banyak kali terkantoi. Selepas itu, merayulah meminta maa. Selepas sebulan dua, buat lagi. Pergi ‘outstation’ tak ingat anak bini.

“Tetapi macam biasa, tengok benda tak senonoh itu. Aku cakap, tengok sahaja tak rasa apa-apa. Elok bawak pelacur sekali. Langsung tak hargai isterinya yang sudah berkorban untuk anak. Lupa agaknya anak sakit, keperluan aku juga tak ditunaikan. Pakaian dalam aku longgar atau koyak, jahit sendiri. Apatah nak belikan baju baru.

“Kerja-kerja rumah langsung tak buat. Sepanjang 10 tahun kahwin, goreng telur pun tak pernah. Aku tiada rehat langsung. Sakit pun tiada cuti. Suami melayan aku sudah macam bibik. Sekurangnya mereka ada gaji. Aku ini kadang-kadang nak RM50 pun kena minta secara kasar. Kena ungkit-ungkit. Aku penat sangat kemas rumah. 

“Hari-hari kena mengemop lantai. Sebab anak aku perangainya suka menjilat lantai rumah. Budak itu pula tak boleh kena jangkitan. Takut jejaskan sakit otak dia. Akulah kena pastikan keadaan dia sentiasa bersih. Si suami pula selepas kencing, tak pam. Merecik-merecik. Kadang-kadang kalau buang air besar pun dia tak pam juga.

“Suami juga selalu tak tutup rapat air paip. Kalau buka kabinet dapur, tak reti tutup balik. Pinggan mangkuk, basuh dia punya sahaja. Itu pun berminyak. Dia buat semua kerja ala kadar. Masuk rumah, tak tutup pintu dengan betul. Sampai ke pagi esoklah pintu rumah terbuka sikit atau tak berkunci. Aku yang sibuk jaga anak penat sangat!

“Masalah semakin teruk ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diadakan. Waktu itu aku termengandung. Tetapi aku gembira ada bayi lagi. Target aku nak tiga orang anak. Namun dia meninggal sewaktu dilahirkan. Aku memang murunglah. Suami pula semuanya tak reti. Nak jaga aku waktu berpantang? Kirim salam sahajalah.

“Aku nak bercerai sahaja waktu itu. Suami baru mula nak berubah betul-betul. Buat kerja tanpa disuruh, buang sampah, memasak, menyapu dan mengemop. Walaupun semuanya telah dia lakukan, tetapi hati aku ini masih kosong untuk dia. Sudah tiada perasaan sayang dekat dia sampai sekarang, selepas empat tahun PKP berlalu.

“Macam-macam suami belikan buat aku. Minyak wangi, jam tangan dan sebagainya. Siap berikan aku duit belanja RM250 sebulan. Tetapi suami itu aku tak heran. Setelah hati mati, susah nak hidupkan balik. Selepas bayi aku meninggal, cuba juga cari kerja tetapi sampai sekarang tak dapat-dapat. Macam mana nak cerai kalau duit tiada?

“Rumah dan kereta juga tiada. Masa bekerja dahulu ada kenderaan, tetapi aku pergi tolak untuk beri kereta yang lebih besar. Sudahnya satu aset pun tiada. Macam mana nak jaga anak-anak aku nanti. Aku sekarang sudah kurang penat, anak-anak sudah besar dan boleh berdikari sedikit. Yang sakit itu pun terakhir dibedah tiga tahun lalu.

“Harap janganlah anak aku sakit lagi. Suami sampai sekarang pun perangai lalainya masih ada. Basuh pinggan tetapi masih berminyak, dekat cawan pun masih ada lagi kesan kopi. Aku yang kena basuh balik. Kencing pun masih bersepah. Penatkan jadi aku? Dengan tak bercakap dengan orang. Asyik menangis sahajalah.

“Aku selalu mengenangkan diri yang masih tidak berjaya ini. Orang lain umur 40 tahun masih berkerjaya, bercuti ke sana dan sini. Aku tumpang gembira. Aku sekarang reda. Rasa macam lebih baik mati sahaja. Tetapi ke syurgakah aku nanti? Aku nak bekerja, nak bercakap dengan orang, nak ada kawan dan pegang duit sendiri. Tetapi tak dapat.

“Macam-macam aku buat ‘dropship’. Kadang-kadang itu dapatlah komisen beberapa sen hingga RM1. Itu kalau ada orang beli. Aku juga jual makanan tetapi belum ada orang beli. Aku suka kerja dengan orang. Kalau majikan berikan tugas, aku akan buat sebaiknya. Meniaga bukan bidang aku. Terfikir nak lari rumah. Tetapi tiada duit.

“Dalam bank simpanan tinggal RM160 sahaja. Wang yang suami berikan bulan-bulan itu tentulah dapat dekat dia semula. Kereta rosaklah, belanja anak-anak tak cukuplah. Tak sampai hati aku nak simpan. Jadilah aku suri rumah yang menyedihkan. Mahu bercerai tetapi tiada pekerjaan dan duit. Macam sakit jiwa tetapi belum jumpa doktor.

“Nak pergi sendiri takut. Sebab sejak menjadi suri rumah, aku rasa kegelisahan yang melampau. Rasa takut keluar rumah seorang diri. Malah tempah e-hailing pun tiada pengalaman. Nasihat aku, kalau boleh kerjalah. Jangan jadi suri rumah melainkan pasangan kita itu suami dari syurga. Sekian.” Kongsi wanita itu di sebuah forum atas talian.

Baca juga: “Suami asyik lebihkan ‘member’, aku mengidam nak makan pun kena keluar beli sendiri…”