Semakin banyak anak seni yang diberi gelaran Datuk atas jasa dan pengaruh mereka dalam industri seni tanah air.
Memegang gelaran Primadona Filem Melayu, Erra Fazira antara nama disebut orang ramai sebagai seseorang yang layak menerima gelaran Datuk.
Meskipun diaju soalan berkenaan, bagi Erra ia bukanlah rezekinya namun menghargai peminat yang menganggap dia layak mendapat gelaran tersebut lapor Kosmo! Online.
“Saya tidak ambil pusing tentang perkara ini. Saya bukanlah orang yang tepat untuk komen tentang isu ini kerana ini bukan bidang saya.
“Pada saya ada ramai lagi selebriti senior yang lebih layak yang mempunyai jasa dan bakti untuk dapat gelaran Datuk.
“Kalau ramai yang berpendapat bahawa saya layak dapat gelaran Datuk, pada saya itu adalah pendapat mereka dan saya berterima kasih kerana itu sedikit sebanyak merupakan satu penghargaan buat saya.
“Biarlah saya tiada gelaran, tetapi apa yang mereka fikir dan rasa untuk saya sangat-sangat bermakna,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.
Pada masa sama Erra mendakwa dia tidak akan menolak jika namanya terpilih untuk dianugerahkan gelaran Datuk.
“Kalau dapat, saya anggap itu satu rezeki. Kalau ada rezeki Alhamdulillah. Kalau tiada, saya tetap teruskan hidup seperti biasa. Tak perlu nak rasa stres,” ujarnya.
Risau keselamatan anak
Dalam pada itu, berkongsi mengenai kes kehilangan remaja, Erra meluahkan kerisauan malah memilih untuk menghantar dan mengambil anaknya.
Erra berkata, jika Aleesya mahu pergi ke pusat membeli-belah seperti One Utama bersama rakan-rakannya, dia akan menghantarnya ke sana.
“Tetapi saya tidak akan sertai mereka, ia adalah perkara biasa bagi seorang remaja untuk malu dengan rakan-rakannya jika ibunya ada.
“Aaya akan teman Aleesya setiap kali dia keluar rumah. Ini kerana ia agak tidak selamat untuk anak-anak muda.
“Jenayah terhadap kanak-kanak banyak semakin berleluasa dan media sosial juga penuh dengan pemangsa,” tambahnya.
Baca juga: Demi cinta sanggup jual akidah, Pablo Amirul dedah pernah ikut ajaran sesat Millah Abraham