Pendakwah selebriti, Da’i Syed menangis teresak-esak selepas dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan selepas didapati bersalah atas pertuduhan merogol seorang wanita di sebuah kondominium, lima tahun lalu.
Keputusan tersebut diputuskan Hakim Norazlin Othman di Mahkamah Sesyen Shah Alam, sebentar tadi selepas mendapati tertuduh yang berusia 29 tahun itu gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
Sebaik mendengar keputusan itu, bapa anak satu terbabit dilihat menangis teresak-esak di dalam kandang tertuduh sebelum dipeluk oleh isterinya, Hana Ismail untuk menenangkannya, lapor Kosmo.
Hana Ismail yang merupakan seorang pengacara berusia 38 tahun itu baru sahaja melahirkan anak 16 hari lalu namun tetap hadir ke mahkamah meskipun berada di dalam keadaan berpantang.
Da’i Syed didakwa atas pertuduhan merogol wanita yang ketika itu berusia 23 tahun di dalam bilik sebuah kondominium di I-City, Seksyen 7, Shah Alam kira-kira pada jam 1.35 malam, 11 September 2019.
Pemilik nama sebenar Syed Shah Iqmal Syed Mohd. Shaiful itu didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Hukuman penjara ke atas pendakwah yang mula dikenali ramai selepas menduduki tempat keempat dalam rancangan realiti agama, Da’i Pendakwah Nusantara itu berkuat kuasa hari ini.
Kes tersebut dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin manakala tertuduh pula diwakili peguamnya iaitu Syed Amirul Syed Edros.
Pada 10 Disember 2020, Da’i Syed mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merogol mangsa yang ketika kejadian berusia 23 tahun dalam bilik di sebuah kondominium di I-City di Seksyen 7, Shah Alam.
Kemudian, Mahkamah Sesyen pada 10 April tahun lalu melepas dan membebaskan Syed Shah Iqmal daripada pertuduhan tersebut selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya, di akhir kes pendakwaan.
Mahkamah Tinggi bagaimanapun memerintahkan lelaki berkenaan untuk membela diri atas pertuduhan tersebut selepas membenarkan rayuan daripada pihak pendakwaan.
Baca juga: Tiada gelaran datuk, Erra Fazira tak kisah, anggap selebriti senior lain lebih layak dapat