Minuman yang dibungkus dengan plastik atau ‘air ikat tepi’ merupakan perkara biasa untuk masyarakat di serata Asia Tenggara termasuklah di Malaysia.
Namun pemandangan ini jarang dapat dilihat di luar negara sehingga menyebabkan pelancong asing merasa ‘pelik’ apabila melihatnya ketika berkunjung ke negara ini.
Oleh yang demikian, dua wanita dipercayai warga Rusia tampil melakukan ‘siasatan’ untuk membongkar persoalan mengapa air di Malaysia dibungkus dengan plastik.
Hasil siasatan mereka itu kemudian dikongsikan menerusi satu rakaman video yang dimuat naik di platform media sosial TikTok bersama kapsyen, ‘beg pelik di Malaysia’.
Berjaya menemui tiga jawapan, mereka berpendapat bahawa ‘beg’ minuman adalah salah satu perkara penting dalam industri makanan jalanan atau ‘street-food’ di Asia.
Hal ini berikutan ia dapat memberi kemudahan kepada pelanggan untuk membawa minuman ke mana sahaja mereka mahu sekiranya tidak mahu meminumnya di kedai.
Beg ini juga dapat meminimumkan kos untuk peniaga ekoran harganya lebih murah berbanding cawan plastik selain menjimatkan ruang terutama jika diletak di kaunter.
Jawapan yang ketiga adalah ‘universal’ berikutan penggunaan beg plastik tersebut tidak terhad kepada minuman sahaja malah turut berfungsi sebagai pembungkus makanan.
“Anda boleh menuangkan segala-galanya daripada teh ais hingga sup ke dalamnya. Tangan anda juga dijamin tidak akan melecur,” kata salah seorang gadis Rusia terbabit di dalam rakaman tersebut.
Baca juga: Jadi tuan rumah Sukan SEA 2027, KBS anggar RM700 juta bakal dibelanja