Prestasi Dolar Singapura dilaporkan telah meningkat kira-kira 1.5 peratus pada 2024 sekali gus menduduki tangga kedua terbaik Asia di belakang ringgit Malaysia, lapor Bloomberg.
Manakala mata wang tempatan juga semakin meningkat dan diperdagangkan pada RM4.3465 untuk setiap dolar Amerika Syarikat (AS), mencatat perbezaan sebanyak 6.63 peratus daripada nilai sebelumnya.
Faktor peningkatan Ringgit Malaysia dikatakan dipengaruhi oleh kestabilan politik domestik, pemulihan ekonomi yang kukuh dan kestabilan harga komoditi selain jangkaan penurunan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS (Fed).
Jangkaan penurunan kadar faedah dan dasar monetari yang secara relatifnya lebih agresif daripada Penguasa Kewangan Singapura (MAS) juga mendorong mata wang negara seberang tambak itu mencapai tahap tertinggi dalam tempoh 10 tahun.
Difahamkan, kekuatan Dolar Singapura yang didorong oleh polisi monetari lebih ketat oleh MAS bersama sokongan prospek ekonomi yang positif ini sebenarnya bertujuan untuk mengekang inflasi.
Pengukuhan mata wang Malaysia dan Singapura berpotensi menyebabkan kedua-dua negara dapat menikmati kuasa beli yang lebih tinggi terhadap barangan dan perkhidmatan yang diimport.
Perkara ini bermakna, kos import bukan sahaja menjadi lebih murah untuk Malaysia dan Singapura malah berpotensi mengurangkan inflasi domestik kedua-dua negara.
Walau bagaimanapun, kekuatan mata wang juga boleh memberi cabaran kepada sektor eksport berikutan barangan tempatan menjadi lebih mahal di pasaran global.
Terdahulu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid dilaporkan berkata, telah berlakunya peralihan dasar Fed dari mengekang risiko inflasi yang lebih tinggi kepada mengelak pengurangan dalam kadar pertumbuhan pasaran buruh.
Perkara itu dapat dilihat menerusi ucapan daripada Pengerusi Fed, Jerome Powell di dalam persidangan antarabangsa tahunan, Simposium Ekonomi Jackson Hole di AS, baru-baru ini.
Oleh yang demikian, Mohd Afzanizam berpendapat bahawa ringgit dijangka terus meningkat berbanding dolar AS malah mungkin bergerak ke arah paras sokongan segeranya pada RM4.3000.
Baca juga: Baru tahu Stadium Merdeka ambil masa 25 minggu je untuk siap, ini 7 ‘fun fact’ buat ramai tak sangka