Mahkamah Rendah Syariah Kuala Selangor hari ini mengesahkan wujud pelanggaran taklik sebanyak lima kali oleh isteri kepada pengarah sensasi, Syamsul Yusof iaitu Ira Kazar.
Sehubungan dengan itu, pasangan berkenaan disahkan bercerai talak satu di mana keputusan dibuat oleh Hakim Syarie Mohd. Faizal Habib sekitar pukul 10.30 pagi tadi selepas meneliti semua dokumen difailkan Ira pada 21 Ogos lalu.
Peguam yang mewakili Syamsul, Azmi Mohd Rais memaklumkan bahawa mahkamah mendapati talak ke atas Ira jatuh susulan wanita itu melanggar taklik dibuat Syamsul dengan memuat naik hantaran di media sosial.
Hal ini bermakna permohonan penceraian yang difailkan oleh Syamsul di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Selangor pada 16 Ogos lalu tidak perlu diteruskan lagi, lapor Harian Metro.
“Alhamdulillah, kes perceraian lafaz taklik sudah selesai hari ini di mana mahkamah mendapati Ira melanggar taklik. Taklik yang sekiranya dia memuat naik sesuatu di media sosial, jatuh talak.
“Mahkamah sudah berpuas hati bahawa terdapatnya lafaz taklik dan mendapati Ira melanggar taklik itu dalam keadaan rela dan tanpa paksaan. Ira sudah melanggar taklik sebanyak lima kali dan kali pertama pada 14 Ogos.
“Jadi, edah bermula dari tarikh itu. Di Gombak Timur, tidak perlu diteruskan lagi. Tetapi saya akan hadir pada 25 September untuk menarik balik dan Syamsul tak perlu hadir. Itu prosedurnya,” katanya memetik laporan Harian Metro.
Manakala peguam yang mewakili Ira, Mohd Fadhil Abd Razak pula mengucapkan terima kasih kepada mahkamah kerana menyelesaikan pengesahan lafaz taklik difailkan oleh anak guamnya dengan segera hari ini.
Jelasnya, tidak ada lafaz baharu yang dibuat sebaliknya mahkamah hari ini putuskan sama ada berlakunya penceraian di luar mahkamah antara pihak Syamsul dengan isterinya.
“Sudah sah bercerai mulai apa yang diputuskan hari ini lebih kurang jam 10.30 pagi tadi. Hari ini tidak ada lafaz baharu, tetapi untuk mahkamah putuskan lafaz di luar mahkamah sebelum ini jatuh talak atau tidak. Keputusan adalah, sah jatuh
“Fokus kita hari ini adalah berkaitan dengan pengesahan lafaz cerai. Jadi, keterangan sudah diambil dan keputusan sudah dibuat pada jam 10.30 pagi tadi. Terima kasih kepada mahkamah sebab selesaikan hari ini dengan segera.
“Hari ini sudah jatuh talak satu. Jadi kalau jatuh talak, kes cerai Seksyen 47 sudah tutup. Tetapi, setakat ini sahaja yang boleh saya kongsikan sebab kes di Gombak Timur adalah pihak sana,” ujarnya.
Terdahulu, pengarah terkenal berusia 40 tahun itu mengejutkan ramai pihak apabila memfailkan perceraian pada 16 Ogos terhadap Ira atau nama sebenarnya, Faghirah Fatini Kazaruddin.
Belum selesai perbicaraan kes tersebut, Ira kemudian memfailkan pula pengesahan lafaz taklik dibuat oleh pengarah berkenaan terhadapnya berkaitan hantaran dimuat naik di sosial miliknya.
Sekadar info, Syamsul pernah berkahwin dengan pelakon, Puteri Sarah pada 8 Mac 2014 sebelum dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 7, dan Summayah yang kini berusia lima tahun.
Pasangan itu bagaimanapun sah bercerai talak satu selepas lapan tahun berumah tangga pada 14 Jun 2023 di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Perceraian difailkan oleh Puteri Sarah selepas Syamsul mendedahkan dirinya telah menikah sekali lagi dengan Ira Kazar yang sebelum ini dikenali ramai sebagai personaliti media sosial pada 6 Januari, tahun lalu.
Dengan berwalikan bapa Ira sendiri iaitu pelakon veteran, Kazar Saisi, mereka berdua sah menjadi suami isteri selepas menikah secara rahsia di Selatan Thailand.
Baca juga: Syamsul Yusof, Ira Kazar didakwa bakal bercerai, terkejut dengar respon Yusof Haslam