Kelakuan seorang pemandu bas muda di media sosial menaikkan kemarahan ramai apabila dilihat dengan selamba memuat naik video budak bawar umur sebagai ‘content’
Bukan perkara biasa malah tular satu video dia mengusap bibir seorang kanak-kanak perempuan bersekolah rendah ketika budak tersebut sedang tidur.
Malah siap label kanak-kanak itu sebagai ‘crush’ atau orang yang disukai meskipun jelas umur terlalu muda.
Disebabkan itu ramai mula menyerang akaun pemuda tersebut untuk memadam segala content yang mendapat jumlah tontonan lebih 10 juta.
Meninjau akaun TikTok pemandu bas tersebut, dia dilihat sudah memadam video yang tular meskipun berkeras sudah mendapatkan kebenaran ibu bapa.
Rata-rata netizen meluahkan rasa tidak selesa apatah lagi sudah banyak kes pedofilia yang berlaku di Malaysia meskipun ada menyatakan kanak-kanak tersebut adalah anak saudara pemandu bas tersebut.
“Sebagai mak, aku takut ya lihat video macam ni, aku harap mak bapa budak ni buat sesuatu.
“Kalau aku jadi mak budak ni, aku lempang dia. Kau jangan nak sentuh anak aku, buat je kerja elok-elok.
“Bodohnya simak pon! Anak perempuan aku, atuk aku jaga pun aku tak bagi mandikan dan dari kecil dah ajar tentang badan dia, jangan normalkan benda ni,” antara komen netizen.
Sudah ditahan
Menerusi satu kenyataan media dikeluarkan Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar mengesahkan sepasukan polis dari bahagian siasatan jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang telah menahan seorang lelaki warga tempatan pada jam 2.57 pagi.
Lelaki berusia 24 tahun itu ditahan di kawasan Simpang Renggam, Johor dan telefon bimbit yang dipercayai digunakan telah dirampas.
Siasatan dijalankan di bawah peruntukan kesalahan-kesalahan berikut:
Seksyen 15(a) (iii) akta kesalahan-kesalahan seksual terhadap kanak-kanak 2017 iaitu bagi maksud seksual mengikuti atau memerhati atau menghubungi seseorang kanak-kanak melalui apa-apa cara secara berulang kali atau kerap, dan boleh, apabila disabitkan, dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi sepuluh tahun atau didenda tidak melebihi dua puluh ribu ringgit atau kedua-duanya;
Seksyen 15(2) akta κanak-kanak 2001 iaitu menyiarkan gambar kanak-kanak melalui apa-apa perantara elektronik, apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
Baca juga: Sanusi akui bercinta dengan isteri kedua lepas kahwin, berkenalan sejak siasatan kes ini