Penggoreng udara atau ‘air fryer’ merupakan peralatan elektrik yang memudahkan penggunanya untuk menyediakan pelbagai jenis makanan.
Bagaimanapun, penggunaan air fryer ini juga turut menyusahkan pengguna terutama ketika proses mencuci memandangkan ia perlu dilakukan dengan begitu berhati-hati.
Jika tidak, peralatan elektrik itu tidak dapat berfungsi dengan baik di dalam tempoh masa yang lama malah mudah rosak sekiranya dibersihkan secara ala kadar sahaja.
Oleh yang demikian, seorang wanita tampil berkongsi ilmu tentang kaedah mencuci ‘air fryer’ dengan mudah dan cepat tanpa menjejaskan kualiti peralatan elektrik itu.
“Hari ini saya nak berkongsi petua mencuci ibu-ibu dan para isteri di luar sana. Inilah kaedah mudah yang memang menjadi terutamanya untuk kita yang sangat sibuk.
“Kamu semua hanya perlukan dua bahan sahaja, iaitu lemon dan sabun pencuci. Tak kisah nak guna jenama apa (boleh juga),” katanya wanita itu dalam satu hantaran di aplikasi Lemon8.
Cara mudah dan cepat mencuci air fryer.
1. Isikan air biasa ke dalam peralatan elektrik tersebut. Kandungan air cukup hingga menenggelamkan semua kawasan berminyak yang mahu dicuci.
2. Selepas itu, masukkan beberapa titik sabun pencuci pilihan anda. Pastikan larutan air bercampur sabun itu berbuih.
3. Kemudian hidupkan air fryer dan tetapkan suhu kepada 200 darjah Celcius selama 20 minit.
4. Selepas 20 minit, anda dapat melihat bahawa semua kerak dan juga kesan minyak yang terkumpul akan keluar serta tertanggal daripada permukaan peralatan itu.
5. Jangan cuci dahulu, sebaliknya tambahkan perahan air lemon ke dalam campuran tersebut sebelum hidupkan semula air fryer.
6. Tetapkan suhu kepada 200 darjah Celcius dan sambung bakar selama lima minit lagi. Apabila selepas, keluarkan larutan air tersebut.
7. Hanya perlu bilas menggunakan air paip tanpa perlu menyental permukaan alatan tersebut. Dijamin licin berkilat, wangi pula itu. Selamat mencuba, semoga bermanfaat!
Baca juga: Tak sangka sawi boleh subur dalam botol minyak, guna medium tanaman ini kalau nak gantung tinggi