Baru lima hari hantar ke taska, anak yang dinanti 13 tahun maut di tangan pengasuh

Oleh MALAYSIADATELINE

Hati bapa manakah tidak hancur apabila zuriat yang dinanti selama 13 tahun ditemui tidak sedarkan diri di sebuah Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) di Kelemak, Alor Gajah, Melaka.

Lebih memilukan, bayi lapan bulan dikenali sebagai Muhammad Al Fateh Fikry Amri itu baru lima hari dihantar ke taska yang terletak di Taman Kelemak Utama tersebut.

Bapa mangsa, Mejar Ir TS Mohd Fikry Amri Abd Halim berkata bahawa perkara yang dilakukan pengasuh taska terhadap anak tunggalnya memang tidak boleh diterima.

Pegawai tentera itu mengakui boleh sahaja menerima sekiranya pemergian anaknya disebabkan oleh tersedak susu kerana kejadian seperti itu berlaku di luar jangkaan.

Sebaliknya bayi itu menjadi mangsa tindakan tidak berperikemanusiaan pengasuh di mana kejadian pada pagi Jumaat tersebut dirakam kamera litar tertutup (CCTV), lapor Berita Harian.

“Pengasuh bedung anak saya, dia sumbat botol susu, tutup dengan kain dan tekup muka dengan bantal. Memang saya terkejut (apabila diberitahu). Namun apabila melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV), saya memang tidak percaya.

“Saya sendiri tengok dengan polis. Berdasarkan rakaman, kejadian berlaku dalam sekitar jam 8 pagi,” kata pegawai berusia 39 tahun yang bertugas di Kem Perdana, Sungai Besi itu memetik laporan Berita Harian.

Pada hari kejadian, isteri Mohd Fikry iaitu Sabrina Hakiem Zaini menerima panggilan dari pihak taska sekitar jam 9 pagi memaklumkan bayinya berada di dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Sabrina kemudian terpaksa membawa sendiri anaknya ke hospital di dalam keadaan terkulai dan tidak sedarkan diri dengan keadaan mulutnya berdarah dan muka biru.

“Sebaik tiba di taska, isteri mendapati anak kami sudah tidak sedarkan diri dan muka sudah bertukar biru selain mulutnya juga berdarah. Isteri kemudian terus bergegas membawa anak ke Hospital Alor Gajah.

“Meskipun (ketika itu) pihak taska memintanya dibawa ke klinik kesihatan. Bagaimanapun sebaik tiba di hospital, bayi kami disahkan sudah tiada,” ujarnya yang mengetahui kejadian menimpa anaknya sebaik menerima panggilan telefon.

Dedah Mohd Fikry, anaknya itu baru lima hari dihantar ke taska berkenaan berikutan isterinya akan mula bekerja tidak lama lagi selepas kira-kira setahun cuti tanpa gaji.

Cuti tersebut diambil oleh isterinya yang bertugas sebagai guru itu disebabkan oleh kesukaran dihadapi mereka selama 13 tahun sebelum ini untuk mendapatkan zuriat.

“Kami menanti 13 tahun untuk dikurniakan anak. Selepas lima hari dihantar ke taska, tidak sangka pula hal ini berlaku. Saya harap kejadian ini dapat diambil tindakan supaya tidak berlaku pada anak-anak lain,” katanya.

Pasangan suami isteri itu melakukan perhubungan jarak jauh (PJJ) di mana Mohd Fikry yang bertugas di Sungai Besi itu akan pulang ke Melaka pada Sabtu dan Ahad.

Sementara itu, pengasuh wanita berusia 34 tahun yang disyaki telah menyebabkan kematian bayi lelaki berusia lapan bulan berkenaan sudah ditangkap oleh pihak polis.

Suspek yang telah berkahwin dan memiliki tiga anak itu ditahan pasukan Bahagian (D11) Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) kira-kira pukul 3.30 petang Jumaat.

Wanita yang berasal dari Endau Johor itu ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Baca juga: Awal bulan gaji tinggal RM550, suami isteri sesak tanggung komitmen dan hutang kereta dua biji