5 selebriti makin ‘hot’ selepas bergelar janda, rezeki pun makin mencurah

Oleh KIM SYAZIE

Beberapa selebriti yang gagal dalam kehidupan rumah tangga kini menjadi inspirasi kepada wanita lain, terutama yang mengalami nasib serupa untuk bangkit semula mengejar cita-cita.

Minggu ini kami menyenaraikan lima selebriti yang semakin laris selepas bergelar janda atau ibu tunggal. 

Bella Astillah

Status janda langsung tidak menjejaskan nilai komersial Bella Astillah atau nama sebenarnya Dayang Nabellah Awang Astillah.

Sejak perceraiannya, ibu kepada dua anak ini tabah menjalani kehidupan dan terlihat lebih sibuk menguruskan perniagaan serta kerjayanya.

Ke mana sahaja aktres ini pergi, masih lagi menjadi tumpuan ramai pihak.

Bella dan Aliff mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016. Hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Mohamad Ayden Adrean, 7, dan Ara Adreanna, 4.

Puteri Sarah

Pelakon cantik Puteri Sarah Liyana yang baru sahaja bercerai talak satu dengan pengarah popular Syamsul Yusof membuktikan perceraian bukan penamat kehidupan.

Berusia 38 tahun, ibu kepada dua cahaya mata, Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah, 5, itu kembali mendapat sokongan dan simpati dengan nasibnya yang berhadapan krisis rumah tangga.

Selepas bercerai pada 13 Jun lalu, Sarah aktif menerima banyak tawaran lakonan sehingga ke Indonesia. Dia juga dikatakan semakin cantik dan bergaya selepas bergelar ibu tunggal.

Siti Nordiana

Penyanyi Siti Nordiana kembali mendapat perhatian selepas menjuarai program realiti televisyen Gegar Vaganza musim kedua pada 2015.

Kemunculan semulanya dalam bidang nyanyian ternyata mendapat sokongan luar biasa peminat yang lama merindui suaranya.

Siti Nordiana atau lebih mesra disapa Nana berehat daripada dunia seni selepas berkahwin dengan pelakon, Allahyarham Faizal Yusup pada 2006.

Jodoh mereka tidak panjang dan bercerai pada 2009.

Mereka dikurniakan seorang anak, Muhammad Rayyan Nakhaie, 15.

Erra Fazira

Biarpun berstatus ibu tunggal pada usia yang mencecah 43 tahun, jelitawan tinggi lampai Erra Fazira layak membawa gelaran ‘janda’ meletup.

Kecantikan yang bagaikan tidak luntur dengan penampilan sentiasa segar menjadikan Primadona Filem Melayu ini masih mampu bersaing dengan mana-mana pelakon baharu.

Ibu kepada seorang cahaya mata perempuan itu masih menjadi pilihan pengarah-pengarah drama dan jenama produk.

Kegagalan rumah tangga yang dilalui sebanyak dua kali tidak menjejaskan aktiviti seni dan nilai eksklusif dirinya sebagai selebriti popular.

Untuk rekod, Erra pernah berkahwin dengan pelakon dan pengarah Datuk Yusry Abdul Halim pada 2003, namun berpisah pada 2006. Mereka tidak dikurniakan cahaya mata.

Dia kemudian mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Engku Emran Engku Zainal Abidin pada 2007, namun bercerai pada 2014.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata, Engku Aleesya yang kini berusia 14 tahun.

Ira Kazar

Mendepani fasa perceraian dengan tenang, bekas isteri kepada Syamsul Yusof, Ira Kazar menyibukkan diri dengan ligat mempromosikan produk jualan.

Ira atau nama sebenarnya Faghira Fatini Kazaruddin, menjadikan platform TikTok sebagai gelanggang berniaga terutama barangan kecantikan dan penjagaan diri.

Selain menjadi model tudung kepada usahawan Alif Syukir, Ira juga nampaknya sibuk mempromosikan barang kecantikan seperti gincu

Kemunculannya yang semakin aktif di media sosial semakin mendapat perhatian ramai.

Ira bercerai talak 1 dengan Syamsul pada 5 September lalu.

Baca juga: Bendera Palestin berkibar di Korea Selatan, perlawanan bola meriah dengan laungan kebebasan