Berang dengan tindakan pengasuh mengabaikan anaknya, seorang bapa meluahkan rasa kesal menerusi beberapa hantaran mencuri perhatian di akaun TikTok miliknya.
Mana tidaknya, pengasuh berkenaan langsung tidak menghiraukan anaknya malah sibuk bermain telefon ketika bayi dipercayai berusia lima bulan itu terkapai sendirian.
Sangat menyayat hati, bayi terbabit dibiarkan terkapai-kapai sendirian selama lebih 20 saat berikutan mukanya tertindih bantal walaupun pengasuh berada berdekatan.
Kejadian tersebut sempat dirakamkan kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) yang turut dikongsikan sang bapa di akaun TikToknya.
Nasib bagaimanapun masih menyebelahi anaknya apabila bantal berkenaan beralih juga sebelum bayi terbabit lemas hasil dari pergerakan dilakukan si kecil itu sendiri.
“Budak dok (tengah) gelepar (menggelupur) ditindih bantal. Dia hanya main telefon. B*dohlah. Tengok dok gelepar. Dia tak cara (peduli), duduk main telefon,” katanya di dalam video berkenaan.
Bapa berkenaan bagaimanapun bersyukur kerana umur anaknya masih panjang dan bayi itu difahamkan sudah dibawa ke hospital berdekatan untuk pemeriksaan lanjut.
Dalam hantaran lain, bapa terbabit turut mengakui taska itu menjadi pilihan selepas memastikan ia sudah didaftarkan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Namun lelaki itu tidak menyangka perakuan tersebut ditambah dengan pemasangan CCTV langsung tidak menjamin keselamatan bayinya daripada penganiayaan pengasuh.
Difahamkan, pengasuh yang terakam dalam video CCTV tersebut bekerja di sebuah taska atau pusat jagaan yang terletak di Jalan Padang, Kampung Raja, Besut, Terengganu.
Bapa mangsa juga mengesahkan nama anaknya adalah Muhammad Al-Fateh yang kebetulan sama dengan bayi dalam kes kematian akibat penganiayaan pengasuh di Melaka, baru-baru ini.
Susulan tularnya perkongsian itu, rata-rata pengguna meluahkan kebimbangan dengan keselamatan anak-anak di pusat jagaan selain turut berharap pengasuh itu dikenakan tindakan tegas sebagai pengajaran.
Ramai juga pengguna berkongsi pendapat bahawa ibu bapa seharusnya diberikan akses untuk melihat rakaman CCTV dengan lebih kerap supaya kejadian seperti itu tidak berulang lagi.
Baca juga: Baru lima hari hantar ke taska, anak yang dinanti 13 tahun maut di tangan pengasuh