Tular sebelum ini mengenai kes pemandu bas yang sering memuat naik kandungan video bersama pelajar sekolah rendah hingga menaikkan kemarahan netizen.
Disebabkan tertuduh itu didakwa di Mahkamah Sesyen Muar semalam atas tuduhan melakukan amang seksual terhadap anak saudaranya.
Menurut Astro Awani, lelaki berusia 24 tahun tersebut dikatakan menangis di kandang tertuduh.
Bagaimanapun dia mengaku tidak bersalah sejurus dua pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Sayani Mohd Nor.
Pertuduhan pertama
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan mencium pipi kanak-kanak perempuan yang juga anak saudaranya berusia empat tahun bagi maksud seksual.
Kejadian berlaku di antara pukul 5 hingga 6 petang di dalam sebuah bas sekolah di Simpang Renggam dalam daerah Kluang pada April sehingga September 2024.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.
Tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh dihukum dengan sebat.
Pertuduhan kedua
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa telah memerhati kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun secara berulang bagi maksud seksual.
Ini berlaku antara pukul 5 petang hingga 6 petang bertempat di dalam bas sekolah di alamat sama, pada bulan ini.
Tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan amang seksual bukan fizikal di bawah Seksyen 15(a)(iii) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 15 akta sama.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.
Disebabkan salah seorang mangsa adalah anak saudaranya maka tertuduh tidak boleh menganggu mangsa serta kakak dan ibunya yang juga saksi pendakwaan.
Hakim Sayani kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM30,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan tarikh 10 Oktober ini untuk sebutan semula kes serta serahan dokumen.
Baca juga: Usap bibir budak tidur, netizen jijik lihat kelakuan pemandu bas sekolah, siap ‘upload’ dekat TikTok