Seramai 402 kanak-kanak dan remaja disyaki menjadi mangsa eksploitasi berjaya diselamatkan hasil serbuan polis di 20 rumah amal sekitar Selangor dan Negeri Sembilan menerusi operasi ‘Op Global’, hari ini.
Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, mangsa yang berusia antara setahun hingga 17 tahun itu terdiri daripada 201 kanak-kanak dan remaja lelaki serta 201 perempuan.
Hasil serbuan tersebut turut mendedahkan berlakunya kesalahan pengabaian serta penganiayaan terhadap kanak-kanak dan remaja yang juga penghuni di rumah amal itu, lapor Berita Harian.
Razarudin memaklumkan, Global Ikhwan Service and Business Holding’ (GISBH) juga disyaki melakukan kesalahan di dalam kegiatan pemerdagangan manusia dan kesalahan lain berdasarkan maklumat dan siasatan yang dilaksanakan pihaknya.
Pendedahan mengenai kegiatan pertubuhan itu dilakukan Razaruddin dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang yang turut dihadiri Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman dan Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Nor Hisam Nordin.
Modus operandi GISBH yang diperoleh melalui risikan polis dan kenyataan mangsa turut didedahkan dalam sidang media berkenaan di mana unsur eksploitasi agama juga dipercayai digunakan untuk menarik simpati dan sumbangan luar.
Lebih mengejutkan, mangsa yang terbabit mendakwa telah diajar dan dididik untuk meliwat sebelum diliwat oleh penjaga rumah amal serta dipaksa meliwat penghuni kanak-kanak lain.
“Susulan kes itu, seramai 171 individu ditahan termasuk 105 wanita berusia 17 hingga 64 tahun.
“Ini daripada risikan serta percakapan yang kita rakam. Mangsa yang tidak sihat tidak dibenarkan mendapat rawatan di klinik sehingga keadaan kritikal,” katanya memetik laporan Berita Harian.
Tambah Razarudin, terdapat juga dakwaan kanak-kanak didera menggunakan objek seperti sudu panas sebagai bentuk hukuman apabila mangsa melakukan kesilapan.
Sehubungan dengan itu, pihak polis sudah membuka empat kertas siasatan dan satu daripadanya sudah mendapat arahan daripada Pejabat Peguam Negara untuk melaksanakan pertuduhan.
“Pertuduhan atas satu kertas siasatan ini adalah mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001.
“Lain-lain siasatan yang sudah dibuka adalah mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017, Seksyen 354 Kanun Keseksaan (Mencabul Kehormatan) dan beberapa seksyen lain.” Jelasnya.
Baca juga: ‘Abang bas’ menangis di kandang tertuduh, didakwa lakukan amang seksual