Usahawan muda, Khairul Aming kembali menjadi sorotan ramai selepas memuat naik rakaman ketika bercuti bersama 100 orang kakitangannya di Pulau Pinang.
Personaliti media sosial terkenal itu turut menempah hotel bertaraf lima bintang dengan pemandangan laut sebagai tempat penginapan untuk semua pekerjanya.
Meskipun telah menanggung segala perbelanjaan, Khairul Aming tetap membekalkan wang saku untuk pekerja membeli-belah seperti cenderamata atau barang yang diingini.
Pemilik nama sebenar Khairul Amin Kamarulzaman itu berkata, percutian tersebut adalah acara tahunan yang wajib dilakukan sebagai tanda penghargaan kepada pekerjanya.
Malah operasi kilang miliknya di Kelantan juga ditutup selama lima hari agar semua kakitangan syarikat dapat mengikuti percutian yang diadakan di Pulau Mutiara itu.
Tular di media sosial, rakaman percutian yang mengundang tumpuan orang ramai itu dikongsikan di akaun TikTok milik ahli perniagaan berjaya berusia 32 tahun terbabit.
“Semua pekerja dapat bilik pemandangan laut di hotel lima bintang, duit poket untuk membeli belah, main taman tema dan sukan laut seperti ‘parasailing’, ‘banana boat’ dan ‘jetski’.
“Mereka juga boleh meneroka bandar Georgetown, makan nasi kandar, ‘grand dinner’ dan macam-macam lagi. Yang penting semua kakitangan dapat berehat dan bercuti dengan gembira,” katanya di ruangan kapsyen.
Kakitangan juga tidak dibenarkan mengadakan sebarang mesyuarat, ucapan atau perbincangan mengenai prestasi kerja sepanjang lawatan syarikat berkenaan berlangsung.
Dalam perkongsian sama, usahawan kelahiran Kelantan itu turut memberi ucapan terima kasih kepada pekerjanya kerana kekal setia bersama syarikat selama empat tahun.
“Alhamdulillah, sudah masuk tahun keempat aku dengan mereka semua. Mereka pun sangat setia dengan syarikat. Terima kasih sangat-sangat walaupun kita hanya ada dua produk sahaja. Kita berdoa agar dapat terus berkongsi rezeki,” ujarnya.
Tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata pengguna memuji tindakan Khairul Aming malah ada yang berpendapat bahawa perkara itulah menyebabkan syarikatnya tiada ‘kerja kosong’.
“Patutlah dia kata ‘bukan tiada kerja kosong dekat kilang tetapi tiada orang berhenti kerja’. Kalau macam ini punya seronok, siapa nak berhenti uii,” kata seorang pengguna.
“Kalau syarikat aku, baru cakap nak bawa pergi makan malam sudah tahu kena buat pembentangan dahulu. Aku syak Khairul Aming ini majikan yang ‘rosak’lah.” Seloroh pengguna lain.
Baca juga: Lelaki terkejut dengar ‘demand’ penjual teh terkenal, minta bayaran hampir RM40k, hotel 5 bintang