Desas desus mengenai kemelut rumah tangga pasangan pelakon terkenal iaitu Nur Fazura dan Fattah Amin akhirnya terjawab apabila aktres berkenaan memfailkan penceraian terhadap suaminya pada Jumaat.
Urusan memfailkan perceraian itu difahamkan dibuat tanpa kehadiran Fazura namun diwakili peguamnya di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Shah Alam, Selangor sebelum tengah hari tadi.
Masih belum mengeluarkan kenyataan mengenai penceraiannya, Fazura sebaliknya berkongsi petikan kata-kata daripada seorang penyair yang juga ulama terkenal iaitu Jalaluddin Rumi atau Rumi.
“Ini adalah jalan anda dan milik anda sendiri. Orang lain boleh berjalan dengan anda, tetapi tiada siapa yang boleh berjalan untuk anda,” tulis Fazura memetik kata-kata sufi terkenal itu di ruangan kapsyen akaun Instagram miliknya.
Hantaran yang baharu sahaja dimuat naik sebentar tadi itu turut disertakan dengan sekeping gambar tidak berwarna memaparkan wajah pemilik nama sebenar Nur Fazura Sharifuddin.
Pelakon berusia 41 tahun itu turut berkongsi kata-kata hikmah menerusi hantaran di Instagram Story yang seolah memberikan gambaran bahawa dirinya telah reda untuk berdepan dengan ketentuan Ilahi.
“Jika sesuatu yang kau senangi tak terjadi, maka senangilah apa yang terjadi,” kata pelakon filem Pisau Cukur yang juga merupakan ahli perniagaan itu dalam hantaran tersebut.
Tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata peminat tampil memberi sokongan kepada pelakon berkenaan dan turut mendoakan yang terbaik untuk rumah tangga pasangan selebriti terbabit.
Terdahulu, isu keretakan rumah tangga Fazura dan Fattah mula hangat diperkatakan apabila pasangan itu sudah lama tidak meninggalkan komen atau tanda suka dalam akaun media sosial masing-masing.
Fazura bagaimanapun menafikan spekulasi mengenai pergolakan rumah tangganya sambil menjelaskan bahawa khabar tersebut hanyalah andaian malah hubungannya dengan Fattah baik-baik sahaja.
Jelasnya, mereka berdua telah bersepakat tidak menunjukkan kebahagiaan dalam media sosial untuk menghormati isu Palestin dan penderitaan yang dialami saudara Islam di sana.
Untuk rekod, Fazura dan Fattah mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017 sebelum mereka dikurniakan cahaya mata perempuan, Nur Fatima Aisya yang kini berusia empat tahun.
Punca penceraian masih belum didedahkan namun jika khabar ini benar, ia difailkan sehari sebelum ulang tahun kelahiran Fattah yang ke-34 pada 14 September ini (esok).
Baca juga: Nora Ariffin akhirnya buka mulut, jelas ada yang paksa bekas suami lafaz cerai