Mahu elak fitnah, Nora Ariffin akui rujuk semula dengan Dr Rushdi selepas sebulan bercerai

Oleh MALAYSIADATELINE

Selepas sebulan mengumumkan perceraian menerusi satu hantaran video di laman Instagram, penyanyi Datuk Nora Ariffin mengakui sudah rujuk semula dengan bekas suaminya, Dr Rushdi Ramli.

Mengesahkan khabar gembira tersebut, pemilik nama sebenar Wan Norafizah Wan Ariffin itu turut meluahkan rasa syukur berikutan kemelut yang telah melanda rumah tangganya sudah berakhir.

Penyanyi berusia 51 tahun itu bagaimanapun tidak mendedahkan sebarang butiran lanjut mengenai proses rujuknya dengan Dr Rushdi termasuklah tarikh, lapor Berita Harian.

Menurut Nora, perkara itu perlu didedahkan dengan tujuan untuk mengelakkan fitnah daripada berlaku berhubung status perkahwinannya terutamanya mengenai tempoh edah.

“Alhamdulillah dengan kuasa Allah SWT, suami sudah kembali rujuk. Manusia hanya merancang, namun Tuhan yang menentukan. Ia (rujuk) tidak lama selepas peristiwa berlaku.

“Saya beritahu untuk mengelakkan fitnah berhubung soal tempoh edah,” kata Nora yang kini berada di Kemboja bagi menyertai aktiviti kemanusiaan memetik laporan Berita Harian.

Penyanyi yang terkenal dengan lagu Di Persimpangan Dilema itu turut meminta agar semua pihak mendoakan yang baik-baik dan menjadikan apa yang berlaku sebagai iktibar.

“Semoga perkara yang sama tidak berulang,” ujar ibu kepada empat orang cahaya mata itu.

Terdahulu, Nora memuat naik satu rakaman berdurasi 52 saat yang memaparkan Dr Rushdi melafazkan cerai talak satu di akaun Instagram miliknya pada 12 Ogos lalu.

Nora bagaimanapun berkata, perceraian di antara mereka berdua sebenarnya sudah berlaku sebelum tarikh rakaman video berkenaan dimuat naik di platform Instagram.

Menyedari Dr Rushdi menjadi sasaran kecaman selepas penularan video tersebut, Nora kemudian tampil memberi penjelasan bahawa tindakan suaminya adalah atas arahan pihak tertentu.

Ekoran kejadian yang berlaku bukan kemahuan suaminya sendiri, Nora berharap orang ramai tidaklah menyalahkan mahupun mengutuk tindakan lelaki terbabit kerana telah menceraikannya.

Untuk rekod, Nora sebelum ini mengumumkan sudah kembali bergelar isteri kepada Rushdi yang juga sahabat baik arwah suaminya iaitu Allahyarham Johan Nawawi pada 2021.

Hasil perkahwinan Johan bersama Nora, mereka dikurniakan empat orang cahaya mata namun komposer tersohor itu meninggal dunia pada 24 Mac 2017 lalu akibat serangan jantung pada usia 52 tahun.

Baca juga: Nora Ariffin akhirnya buka mulut, jelas ada yang paksa bekas suami lafaz cerai