Kecoh wanita ‘berlakon’ jadi suami isteri dengan anak, ini teguran Mufti Pulau Pinang

Oleh MALAYSIADATELINE

Baru-baru ini gempar di media sosial apabila seorang pencipta kandungan bergelar ibu didapati membuat ‘video parodi’ bersama anak lelakinya dengan melakonkan watak sebagai suami isteri dalam perkongsian di platform TikTok.

Perbuatan wanita itu telah menimbulkan rasa kurang senang di kalangan pengguna media sosial kerana sang anak yang masih bawah umur itu memegang watak lelaki dewasa malah babak lakonannya juga dianggap tidak sesuai dengan usianya.

Mufti Pulau Pinang, Prof Madya Dr Mohd Sukki Othman ketika diminta mengulas isu tersebut berkata bahawa pembikinan video dan babak lakonan seumpama itu perlu dielakkan tidak kira untuk simpanan sendiri mahupun tontonan umum.

Niat dan matlamat pencipta kandungan sedemikian juga tidak menghalalkan cara kerana dikhuatiri perlakuan yang diketengahkan dalam video tersebut akhirnya akan menggalakkan kepada perbuatan sumbang mahram, lapor Harian Metro.

“Walaupun sekadar lakonan, perbuatan itu menuju ke arah sesuatu yang haram malah tak sesuai dan bukan selari dengan ajaran Islam. Asasnya daripada sudut moral sudah tak kena, malah apa yang tak betul tetap tak betul.

“Bukan untuk tontonan umum pun tak betul lebih-lebih lagi ditonton kerana anak tetap anak. Biarpun sekadar lakonan dan tanpa dialog sekalipun, mereka kena hayati. Jadi penghayatan itu yang akan memberi implikasi negatif terutama dalam pembentukan anak.

“Walaupun cuma lakonan, penghormatan sebagai ibu sudah tiada. Ibu bapa kena memberi kasih sayang kepada anak sebagai anak, bukan pasangan. Begitu juga anak kena menghormati, taat dan melayan ibu bapa sesuai dengan statusnya,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Menurutnya lagi, anak-anak tidak sepatutnya dididik sebagai suami mahupun pasangan malah orang ramai terutamanya ibu bapa disarankan untuk lebih berhati-hati dalam mendidik pada zaman sekarang ini.

Justeru itu, Mohd Sukki menasihatkan pencipta kandungan supaya merujuk individu yang pakar dan arif dalam soal agama sebelum memuat naik sebarang video atau perkongsian berunsur sensitif.

“Jika berkaitan isu yang tak pasti, sebaiknya rujuk dan tanya dahulu dengan pakar, ustaz mahupun ustazah. Rujukan itu penting supaya mereka tahu apa yang boleh dan tak boleh dibuat serta dikongsi.

“Kita bimbang sekiranya tak dirujuk, lebih daripada itu boleh berlaku sampai tahap melakukan perkara yang tak betul,” jelas Mufti Pulau Pinang memberikan cadangan kepada pencipta kandungan tempatan.

Terdahulu, perkongsian di laman TikTok itu mengundang kecaman orang ramai yang rata-ratanya menganggap video dimuat naik oleh wanita berusia 35 tahun terbabit menjijikkan dan membenarkan perlakuan pengantunan seksual atau ‘child grooming’.

Menyedari kesilapannya, pencipta kandungan wanita terbabit tampil memohon maaf secara terbuka menerusi video dimuat naik di TikTok susulan perkongsian lakonan dengan anak sulungnya yang berusia 14 tahun itu dikritik hebat.

Baca juga: Terlalu ramai ‘enabler’ di Malaysia, peguam dedah kes pak cik mahu nikahi anak buah sendiri