Ribuan rakyat Malaysia habiskan cuti di Thailand, orang Thai sampai tak dapat nak pergi Hatyai

Oleh KIM SYAZIE

Kebanjiran rakyat Malaysia ke Thailand ternyata telah membangunkan ekonomi setempat di Hatyai, Songkhla.

Lebih menarik, rakyat Thailand mengatakan mereka sendiri tidak dapat berkunjung ke lokasi tumpuan pelancongan itu kerana dibanjiri pelancong yang rata-ratanya dari Malaysia.

Rakyat negara ini yang pernah ke lokasi itu turut mengakui suasana Hatyai seperti bukan di Thailand, sebaliknya seperti di Malaysia kerana kebanyakan pengunjung adalah orang Melayu.

Sebuah rancangan televisyen Thailand iaitu @dikedaikopi_tv11yala turut mengupas perkara ini dan sangat mengalu-alukan kedatangan rakyat Malaysia ke sana.

Dalam rancangan itu, dua pengacara tersebut berseloroh, mengatakan Hatyai sepertinya bukan lagi tempat mereka kerana kehadiran rakyat Malaysia yang sangat ramai.

“Kalau kita pergi sana (Hatyai) serupa bukan tempat kita, ramai sungguh adik kakak Malaysia kita mari masuk.

“Antara sebab orang Malaysia suka datang sebab cari makanan. Ada dalam TikTok tadi, orang Malaysia beritahu kenapa orang Siam masak sedap sangat,” katanya.

Mereka secara santai juga memuji pempengaruh Malaysia yang lebih mengetahui lokasi restoran-restoran halal berbanding warga Thailand sendiri.

Lebih lucu, mereka ada kalanya akan merujuk kepada video pempengaruh Malaysia untuk mencari makanan halal.

“Banyak-banyak tempat yang ‘viral’ dalam TikTok ke, kita tak biasa pergi tapi orang Malaysia kenal semua kedai-kedai ‘viral’ dekat Hatyai. Kalau nak cari makanan halal, orang Thailand tengok video ‘influencer’ Malaysia,” ujar pengacara tersebut.

Menurut rancangan itu, Thailand kini sedang giat melancarkan program Hello Hatyai khusus kepada rakyat Malaysia bagi meraikan negara ini yang baru sahaja menyambut Hari Kemerdekaan ke-67 dan Hari Malaysia.

“Jadi apabila ramai rakyat Malaysia masuk, bahagian pelancongan negara Thailand tak boleh duduk diamlah. Jadi dia lancar program ini untuk nak ‘beraya’ dengan orang Malaysia.

“Kerajaan Thailand kata rakyat Malaysia adalah kawan yang baik kepada negara kita,” ujarnya.

Video tersebut sehingga kini meraih lebih 260,000 tontonan dengan ruangan komen dibanjiri komen rakyat Malaysia.

Baca juga: “Masa bercinta kentut pun bau wangi, lepas kahwin baru sedar busuknya suami, sampai aku belikan perfume’