Pengunjung program jualan tergamam kena bayar RM32, hanya beli sebekas buah potong!

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang pengunjung program jualan mengakui terkejut apabila dikenakan bayaran sebanyak RM32 hanya untuk sebekas cawan plastik yang berisi beberapa jenis buah potong.

Menerusi satu hantaran di aplikasi TikTok, pengunjung terbabit mengakui ‘mencedok’ beberapa potong buah termasuklah jambu batu, jambu air, nanas dan juga dua jenis mempelam atau mangga.

Namun caj dikenakan peniaga berkenaan dikatakan melampau berikutan harga buah tersebut ditentukan mengikut berat bukan jenis mahupun jumlah potongan dicedok pelanggan.

Jelas pengunjung terbabit, harga ditetapkan peniaga adalah RM3.50 untuk setiap 100 gram (g) namun caj dikenakan malah menghampiri kos satu kilogram buah (RM35) sedangkan potongan diambil tidaklah sebanyak itu.

Menurutnya, buah potong tersebut dibeli ketika mengunjungi sebuah program jualan diadakan di Dataran Segamat, Johor baru-baru ini tanpa memberikan butiran lanjut mengenainya termasuk tarikh.

“Saya beli buah dekat satu acara ini. Cedoklah buah jambu batu setengah, jambu air dua biji, sehiris nanas, sehiris pelam dan juga sehiris pelam epal. Kira-kira, sebekas ini RM32. Terkejut kitaaa.

“Tetapi itulah, tak taubat. Setiap kali ada program, beli juga,” akui wanita itu dalam perkongsian yang kini sudah meraih lebih setengah juta tontonan daripada pengguna TikTok.

Tinjauan mendapati rata-rata pengguna tampil berkongsi pengalaman buruk mereka ‘dicekik’ peniaga ketika membuat pembelian di program jualan terutamanya di festival makanan.

Malah ramai pengunjung program jualan mengakui turut menghadapi kejadian yang sama ketika membeli buah potong bahkan ada individu lain juga dikenakan bayaran tinggi ketika membuat pembelian di Dataran Segamat.

“Sama, terkena juga. Baru beli dekat satu program di Dataran Segamat baru-baru ini. Sehiris jambu batu, sengkuang dan mangga jumlahnya RM35!,” kesal seorang pengguna.

“Saya pernah kena RM36. Suami tanya berapa harga, saya jawab RM8 sebab takut kena bebel. Mahal gila. Pengalaman kena skali. Selepas itu taubat sudah tak nak beli.” Ujar pengguna lain.

Baca juga: Kedai di pedalaman tapi jual mahal, lelaki terkejut nasi lemak telur di Sabah RM8