Video dera rumah amal GISBH: Pelaku antara ditahan dalam Op Global, keluarga buat laporan polis

Oleh MALAYSIADATELINE

Malaysia baru-baru ini dikejutkan dengan penularan dua rakaman yang memaparkan penderaan dialami kanak-kanak dipercayai penghuni rumah amal di bawah naungan Global Ikhwan & Services Berhad Holdings (GISBH).

Berdasarkan salah satu rakaman yang dimuat naik di platform Facebook itu, seorang kanak-kanak dilihat sedang menangis sambil menahan kesakitan akibat ditindih oleh penjaga dengan menggunakan lutut.

Penjaga itu juga sempat melemparkan pertanyaan, ‘Kenapa menangis, nak mati ke?’ kepada mangsa selain turut menutup hidung kanak-kanak malang berkenaan sambil menindihnya.

Rakaman lain pula menunjukkan beberapa kanak-kanak dirotan enam hingga 15 kali setiap orang sambil masing-masingnya mengerang kerana kesakitan namun tidak dihiraukan.

Susulan penularan video itu, pihak polis memaklumkan bahawa salah seorang pelaku disyaki melakukan penderaan dalam rakaman berkenaan sudah berada dalam tahanan mereka.

Pelaku yang juga salah seorang penjaga di rumah amal berkenaan adalah antara 171 kakitangan ditahan dalam operasi Op Global dijalankan pihak berkuasa itu pada 11 September lalu, lapor Harian Metro.

Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, penahanan lelaki berkenaan dibuat berdasarkan pengakuannya yang mendakwa melakukan penderaan fizikal kepada penghuni kanak-kanak.

“Hasil siasatan dan rakaman keterangan yang dibuat, kebetulan yang mendera itu memang ada dalam (kumpulan) suspek yang kita tangkap sebelum ini. Suspek mengaku dia yang buat (mendera).

“Tetapi kita sedang cuba mengenal pasti sama ada mangsa ada dalam kalangan mangsa yang diselamatkan atau masih ada di luar,” katanya dalam satu sidang media memetik laporan Harian Metro.

Razarudin juga memaklumkan bahawa pihaknya kini sedang menjalankan siasatan terhadap suspek berhubung beberapa rakaman video yang tular menunjukkan kanak-kanak didera termasuk dirotan di tangan.

Setakat ini, dua laporan polis telah diterima berhubung penularan video berkenaan di mana salah satu daripadanya dibuat semalam di Kluang, Johor oleh bapa kepada salah seorang mangsa.

Pengadu yang juga bapa kepada kanak-kanak dikenakan denda rotan dalam rakaman tular itu turut mengesahkan bahawa anaknya telah terpisah daripadanya sejak dari tahun 2021 lagi.

Manakala satu lagi laporan pula dibuat oleh datuk kepada salah seorang mangsa lain di mana penderaan dialaminya turut dirakamkan dalam video yang telah tersebar luas di pelbagai platform media sosial itu.

Tambah Razarudin, kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Baca juga: GISBH akui dakwaan liwat hanya kes ‘terpencil’, rayu sumbangan awam bayar peguam