Siapa tak kenal pelakon veteran Ruminah Sidek yang sudah berlakon sejak zaman filem Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P Ramlee menghiasi kaca televisyen.
Malah sehingga kini Ruminah atau lebih mesra dipanggil Mak Mah tidak menolak seandainya menerima tawaran berlakon.
Menerusi podcast legasi bersama pelakon Adlin Aman Ramlie dan Pengarah Urusan Inkhouse Pictures, Datuk Khairul Anwar Salleh, Mak Mah berkongsi mengenai bayaran diterima pelakon zaman dahulu.
“Itu sebabnya daripada gaji RM40 naik ke RM300, RM4,000 dan RM17,000, setiap lakonan itu ada nilainya.
“Alhamdulillah, bukannya mudah nak capai tangga sebegitu,” ujarnya dalam podcast tersebut.
Berkongsi dengan lebih lanjut mengenai bayaran diterima semasa melakonkan watak Norma dalam filem ‘Anak Bapak’, Mak Mah mendedahkan dia menerima bayaran RM4,000.
“RM4,000 sahaja, kamu jangan soal banyak kali. Itu adalah harga untuk lapan hari punya penggambaran. Jangan ditanya ke mana semua duit itu.
“Waktu itu gelang emas semua baru harga RM60, dengar RM4,000 nampak macam sikit tapi zaman dulu saya dapat beli kebun durian,” kongsinya.
Pada masa sama Mak Mah yang kini berusia 78 tahun mendedahkan zaman mudanya dia sering dijemput menari dan menyanyi di majlis kampungnya.
“Waktu tu saya masih muda baru berumur 19 tahun, kalau tak cantik pun tak masuk akal juga. Mungkin waktu saya dikira cantik.
“Selalunya saya ni wakil dalam kampung, menyanyi untuk pengantin, orang berkhatan pun Ruminah Sidek, dijemput ke majlis kahwin pun saya.
“Satu hari saya masuk pertandingan menari tarian tradisional dengan baju songketnya dan di situlah saya bertemu P.Ramlee,” tambahnya.
Baca juga: “Terpaling tegur semua masuk gua”, Baby Shima hairan tiada surat terbuka untuk isu GISBH