Polis tahan anak pengasas kumpulan Al-Arqam, pemimpin kanan GISBH termasuk CEO

Oleh MALAYSIADATELINE

Polis telah menahan beberapa pemimpin kanan Global Ikhwan Services and Business Holding (GISBH) termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat itu dalam operasi Op Global, semalam.

Penahanan tersebut dibuat susulan pendedahan eksklusif media tempatan mengenai penderaan, pengabaian dan salah laku seksual yang didakwa berlaku di rumah amal kendalian syarikat berkenaan.

Difahamkan setakat ini, seramai 19 orang termasuk pemimpin jemaah tersebut sudah ditahan dalam operasi yang dijalankan di beberapa lokasi oleh polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Menurut sumber, kesemua individu yang ditahan polis dalam operasi tersebut terdiri daripada 12 lelaki dan tujuh orang wanita berusia 30 hingga 65 tahun, lapor Harian Metro.

“Selain CEO terbabit, turut ditahan isterinya serta dua anaknya bagi membantu siasatan. Turut difahamkan, individu lain yang ditahan adalah anak kepada bekas pemimpin Al-Arqam, Ashaari Mohammad,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan tangkapan itu ketika dihubungi dan memaklumkan pihaknya akan mengumumkan maklumat lanjut mengenainya tidak lama lagi.

Terdahulu, penghuni rumah kebajikan yang bernaung di bawah syarikat berkaitan produk Islam terkenal tersebut dilaporkan mengalami pelbagai bentuk penderaan termasuk bakar tangan, cabut rumput sehingga penuh plastik hitam dan salah laku seksual.

Bukan itu sahaja, mangsa yang terlibat juga mendakwa telah diajar dan dididik untuk meliwat sebelum diliwat oleh penjaga rumah amal serta dipaksa meliwat penghuni kanak-kanak lain.

Kegiatan penderaan fizikal yang dikatakan berlaku sejak lebih dari 10 tahun lalu itu akhirnya terbongkar selepas seorang penjaga berusia 19 tahun ditahan pihak berkuasa di Seremban, Negeri Sembilan pada Rabu lalu.

Pihak polis juga berjaya menyelamatkan 402 kanak-kanak dan remaja berusia satu hingga 17 tahun yang dipercayai dieksploitasi dalam Op Global pada 10 September lalu di 20 rumah kebajikan di Selangor dan Negeri Sembilan.

Baca juga: Video dera rumah amal GISBH: Pelaku antara ditahan dalam Op Global, keluarga buat laporan polis