Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin mencadangkan agar wang zakat digunakan untuk membantu anak dan bekas ahli Global Ikhwan Services and Business Holding (GISBH).
Beliau menerusi satu hantaran di platform Facebook berkata, wang zakat itu boleh digunakan untuk membiayai anak bekas ahli GISBH agar mereka dapat bersekolah semula.
Wang zakat juga boleh diberikan kepada bekas ahli-ahli organisasi berkenaan yang ingin memulakan kehidupan baharu dengan mencari perkerjaan ataupun memulakan perniagaan lain.
“Dengan (bantuan) ini, kita bukan sahaja mengeluarkan mereka dari kehidupan lepas yang tidak sewajarnya. Tetapi kita juga memberikan peluang untuk mereka memulakan kehidupan yang benar dan baik,” katanya dalam hantaran itu.
Tular di media sosial, tinjauan di ruangan komen hantaran itu mendapati rata-rata pengguna Facebook menyambut baik cadangan tersebut selain memberikan penghargaan kepada Mufti Perlis kerana menjalankan tugasnya.
Ramai juga pengguna tampil memberi semangat kepada bekas ahli GISBH yang mahu meneruskan hidup baharu dengan benar dan lebih baik selain mendoakan supaya urusan mereka dipermudahkan.
“Alhamdulillah, semoga Allah mempermudahkan urusan bekas-bekas ahli GISBH yang teraniaya dalam memulakan kehidupan lebih baik. Terima kasih Datuk Mufti dan semua pasukan terlibat,” kata seorang pengguna.
“Inilah kepentingan adanya Mufti yang boleh memberikan kata putus seperti ini, tanpa bermesyuarat panjang.” Ujar pengguna lain yang menyambut baik cadangan pantas oleh Mufti Perlis itu.
Sementara itu, beberapa individu turut menyarankan agar bekas ahli yang diberi zakat untuk terus dipantau supaya mereka benar-benar bebas daripada pengaruh GISBH dan tidak mengambil kesempatan atas bantuan tersebut.
Baca juga: Polis tahan anak pengasas kumpulan Al-Arqam, pemimpin kanan GISBH termasuk CEO