Ibu manakah yang tidak terkejut apabila menerima rakaman video memaparkan anaknya berusia dua tahun sedang menangis teresak-esak ketika dikelilingi unggun api.
Lebih memburukkan keadaan, penghantar video itu bukanlah orang lain sebaliknya bekas suaminya sendiri iaitu bapa kandung kepada kanak-kanak malang berkenaan.
Itulah kejadian mencemaskan dialami oleh seorang wanita yang berada dalam fasa penceraian gara-gara diugut bekas suami berkaitan kemelut rumah tangga mereka.
Difahamkan, kejadian dipercayai berlaku susulan wanita itu dihalau daripada kediaman bekas suaminya selepas diceraikan pada 15 September lalu, lapor Malaysia Gazette.
Wanita itu kemudian menerima beberapa video dihantar suspek yang memukul dan memarahi anak lelaki mereka tanpa sebab hingga menyebabkan kanak-kanak terbabit kelihatan seperti trauma serta ketakutan.
Namun pada jam 4.27 petang 18 September lalu, pengadu sekali lagi menerima video bekas suami memarahi anak mereka dengan memukul dan mengugut untuk membakar kanak-kanak tersebut.
Sang ibu yang merasa bimbang terhadap keselamatan anaknya itu segera tampil membuat laporan polis pada hari sama dan pihak berkuasa terus bertindak pantas untuk menangkap suspek.
Ketua Polis Kuantan, ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, lelaki itu diberkas di perhentian bas hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Maran 2 pada jam 10.30 malam kelmarin dalam sebuah kenderaan jenis Nissan Grand Livina.
Menurutnya, sepasukan polis bahagian jenayah dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuantan dengan kerjasama IPD Maran juga telah membuat rampasan barang-barang kes ketika tangkapan dijalankan.
”Sebelum ini, pengadu merupakan isteri suspek yang dalam fasa perceraian telah menghantar anak lelakinya, berusia 2 tahun 6 bulan ke kediaman suaminya di Apartment Sutravilla Jalan Pelindung Damai 5 di Beserah.
“Kemudian pengadu telah dihalau dari rumah tersebut setelah diceraikan pada 15 September lalu dan kini tinggal berasingan,” katanya memetik laporan Malaysia Gazette.
Difahamkan video berkenaan adalah satu bentuk ugutan dan protes yang berkaitan kemelut rumah tangga mereka berikutan suspek tidak bersetuju dengan penceraian tersebut.
Suspek berusia 35 tahun yang memiliki 12 rekod jenayah lampau itu kini direman selama tiga hari sejak ditangkap dan hasil siasatan lanjut mendapati lelaki itu mengaku terlibat dalam kes yang disiasat kerana tertekan.
”Suspek pernah terlibat dengan kes penyalahangunaan dadah dan melarikan anak lelaki pengadu dengan menaiki kereta jenis Nissan Grand Livina warna putih.” Jelas Wan Zahari.
Wan Zahari memaklumkan, kes itu masih dalam siasatan lanjut termasuklah perbuatan suspek terhadap anak kandungnya di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Baca juga: Beli motosikal Yamaha RXZ di TikTok, remaja baru sedar kena tipu lepas ‘transfer’ RM2k