Peniaga dipuji tetap buka kedai masa banjir, belanja satu kampung nasi percuma

Oleh KIM SYAZIE

Tindakan sebuah kedai makan di Alor Setar, Kedah yang masih membuka warung dalam keadaan kedai itu masih digenangi air banjir, menuai perhatian pengguna media sosial.

Difahamkan, pengusaha kedai tersebut mahu menyediakan makanan percuma untuk penduduk kampung yang terjejas akibat bencana banjir 

Menerusi perkongsian di TikTok Warung Pak Din One Dollar, mereka menyediakan nasi putih panas berlaukkan ikan goreng, timun dan sambal belancan untuk diberikan kepada penduduk kampung yang datang.

Mereka juga sempat mengagihkan air percuma.

Pada video itu , terpancar kegembiraan pada wajah kanak-kanak yang datang untuk mengambil makanan.

Difahamkan, proses penyediaan dan pembungkusan makanan turut dibantu beberapa orang kampung di sana.

Sementara itu menjengah ke ruangan komen, ramai yang meluahkan rasa terharu dan hiba dengan kebaikan tuan kedai kerana memudahkan urusan orang lain dalam keadaan urusannya pun turut sama terjejas.

Mereka turut mendoakan kebaikan buat tuan kedai, semoga Allah melimpahkan rezeki berkali ganda buat peniaga tersebut.

“Allahuakbar di saat penduduk setempat ditimpa musibah banjir, hadirnya insan yang pemurah berkongsi rezeki. Semoga dimurahkan lagi rezeki insan berhati baik ini,” kata Laila.

“Semoga Allah kurniakan rezeki yang mencurah-curah buat Pakdin,” komen Ieda 

“Semoga sentiasa murah rezeki orang baik,” komen Rose pula.

Baca juga: Ini cara mudah nak tanggalkan ‘wallpaper’ tanpa rosakkan cat, rupanya kena guna pelembut kain!