Jual teh masala atas basikal, ramai terkejut pendapatan graduan ni cecah 6 angka sebulan!

Oleh MAISARAH AISYA

Tidak dinafikan perniagaan antara yang membuka ruang untuk mendapat pendapatan lebih, ditambah pula jika ada usaha dan kerja keras.

Meskipun hanya berniaga di tepi jalan dan berpanas, ramai tidak tahu yang ia sangatlah membuahkan hasil.

Menurut portal Majoriti, seorang graduan kejuruteraan mekanikal, Kavievanan Subramaniam pernah tular selepas menjadi penjual teh bergerak di Kuala Lumpur.

Pada masa sama, Kavi memaklumkan perniagaan Tea Thambi kini dianggarkan memperoleh pendapatan hampir RM100,000 sebulan.

Jumlah tersebut hasil daripada jualan di dua kafenya di Jalan Tun Perak dan Masjid Jamek serta lima gerai antaranya di Brickfields, Lebuh Ampang serta Bukit Bintang.

Namun sebelum berjaya ini, Kavi mendedahkan bagaimana dirinya sanggup mengayuh basikal sejauh 10 kilometer dari rumahnya di Bandar Tun Razak, Cheras.

“Masa tengah berkayuh itu, memang ramai minta teh. Cumanya ramai mereka ini malas nak berjalan. Jadi kalau kita yang pergi ke sana, mereka mesti beli.

“Jadi itu yang mula sedarkan saya bahawa permintaan terhadap teh masala ini memang ada. Tapi kualiti mesti ada, dan Harga pun mesti berpatutan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Kavi berkongsi dia memulakan perniagaan jualan teh masalanya sekitar Julai 2020 dengan menggunakan basikalnya dan bergerak di sekitar Brickfields dan Masjid India.

Dedahnya pada waktu itu, dia menjalankan Tea Thambi dengan berbekalkan modal awal sebanyak RM500.

Modal itu adalah untuk tong minuman, stok teh, susu dan cawan termasuk sedikit ubah suai terhadap basikal jenis fixi yang digunakan sewaktu belajar.

“Kalau dulu waktu mula-mula saya boleh jual tak sampai 100 cawan sehari, sekarang ini sehari kami boleh jual dalam 2,000 hingga 3,000 cawan,” katanya.

Kavi juga memaklumkan bahawa dia mengambil masa setahun untuk memastikan resipinya benar-benar sempurna.

Disebabkan rasa yang autentik, Tea Thambi juga terkenal dek kerana harga yang cukup berpatutan bermula dari RM1 hingga RM4.

Baca juga: Tak puas hati baca ‘review’, pemilik kedai bidas pelanggan, minta bagi komen depan-depan