Dua pempengaruh yang juga pasangan suami isteri, Alif Teega dan Aisyah Hijanah hadir di Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini untuk menghadapi masing-masing 10 pertuduhan dipercayai membabitkan salah guna dana awam.
Kes membabitkan pemilik nama sebenar Mohd Hazalif Mohd Hazani dan Aisyah Hijanah Azhari, yang sebelum ini mencetuskan kontroversi rumah tangga itu akan didengarkan di hadapan Hakim Datuk Anita Harun.
Alif, 30, yang memakai kemeja biru gelap sementara Aisyah, 26, mengenakan jubah berwarna hitam itu tiba di mahkamah berkenaan pada jam 8.51 pagi tadi dan sempat melemparkan senyuman kepada wartawan.
Difahamkan, Aisyah ketika disapa oleh para wartawan hanya memberikan jawapan yang ringkas iaitu ‘Alhamdulillah’ selepas ditanya berhubung keadaan terkini dirinya, lapor Berita Harian.
Terdahulu, Alif pada Jumaat lalu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua pertuduhan salah guna harta untuk program infaq iftar di Mekah, Syria dan Palestin, serta korban berjumlah RM63,605.48 pada April serta Jun.
Pasangan berkenaan sebelum ini ditahan reman empat hari pada 11 Julai lalu untuk membantu siasatan kes salah guna kuasa bagi mendapatkan rasuah bermula dari tahun 2022.
Perintah reman tersebut dikeluarkan mahkamah selepas membenarkan permohonan daripada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menahan kedua-dua personaliti berkenaan.
Turut menerima perintah tahanan reman bersama pasangan terbabit ketika itu adalah dua lelaki dipercayai daripada pihak pengendali platform kutipan derma di dalam talian.
Hal ini susulan penularan dakwaan di media sosial mengenai seorang pempengaruh yang dikatakan telah mengambil komisen daripada kutipan derma dengan peratusan tinggi.
Pasangan terbabit juga dikatakan hidup dalam kemewahan sehingga menimbulkan tanda tanya di kalangan pengguna media sosial tempatan namun Alif dan Aisyah menafikan semua dakwaan penyelewengan dan pecah amanah.
Tampil bersama peguam, pasangan suami isteri itu turut menegaskan bahawa mereka tidak pernah menggunakan wang tersebut untuk tujuan peribadi.
Baca juga: Aliff Teega dan Aisyah Hijanah direman 4 hari, bantu siasatan dakwaan salah guna kuasa