Status penceramah bebas, Ustaz Wadi Annuar akhirnya terjawab selepas personaliti terkenal itu mengaku sudah pernah berkahwin sekitar 16 tahun yang lalu.
Difahamkan, perkahwinan berkenaan didirikan susulan kepulangan Ustaz Wadi ke tanah air pada tahun 2009 lalu selepas menamatkan pengajiannya di luar negara.
Rumah tangga yang dibina bagaimanapun tidak dapat bertahan lama malah hasil perkongsian hidup, Ustaz Wadi dan bekas isterinya juga tidak dikurniakan cahaya mata.
Pendedahan tersebut dilakukan oleh Ustaz Wadi sendiri menerusi satu program audio siar atau ‘podcast’ iaitu Apa Cerita yang disiarkan di platform Youtube, baru-baru ini.
“Sebenarnya saya sudah berkahwin dahulu sewaktu balik ke Malaysia sekitar tahun 2008. Lebih kurang pada tahun 2009 lalu, saya berkahwin.
“Kemudian beberapa tahun selepas itu, bahtera perkahwinan tidak bertahan lama. Daripada situ, saya kekal membujang sehingga ke hari ini,” katanya dalam program tersebut.
Sedutan program audio siar yang dikendalikan oleh anak kepada ahli perniagaan, Datuk Khalid Mohamad Jiwa iaitu Asyraf Khalid itu kemudian tular di laman TikTok selepas dikongsikan semula oleh pengguna platform tersebut.
Mengulas lanjut, pemilik nama sebenar Mohamad Wadi Annuar Ayub itu turut tidak menafikan dirinya masih memiliki keinginan untuk berkahwin namun hatinya belum terbuka sehingga kini.
Pendakwah berusia 41 tahun itu juga sempat berseloroh bahawa dirinya baru sahaja menolak risikan seseorang, sehari sebelum datang ke program berkenaan kerana belum terbuka hati.
“Semestinya masih mahu berkahwin sebab saya juga ada perasaan. Sewaktu di sekolah menengah dahulu pun saya ada jatuh hati dekat orang, dekat universiti pun saya ada luahkan hasrat untuk menjadikan seorang wanita ini isteri.
“Tetapi waktu itu belum sampai masanya lagi. Hari ini hari Ahad, semalam (Sabtu) ada orang datang meminang saya. Tetapi saya belum terbuka hati (berumah tangga).” Seloroh pendakwah terkenal itu.
Baca juga: Ira Kazar tak pernah bahagia? Terkejut apa yang terjadi dalam perkahwinan Ira dan Syamsul