Polis Kelantan menemui pelbagai jenis buku berkaitan Aurad Muhammadiah dan Al-Arqam selepas menyerbu rumah amal serta sekolah milik Global Ikhwan & Services Berhad Holdings (GISBH) di Gong Kulim, Pasir Puteh, hari ini.
Buku tersebut ditemui disembunyikan dalam stor rumah amal berkenaan ketika pihak polis menjalankan operasi yang bermula dari pukul 9 pagi sehingga 11 pagi tadi itu, lapor Harian Metro.
Anggota Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK) dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) turut menyertai operasi yang melibatkan lebih 50 keanggotaan itu.
Difahamkan ketika menjalankan operasi itu, pihak polis terpaksa memecahkan pintu rumah dan sekolah berkenaan berikutan sudah tiada penghuni malah premis juga berkunci.
Premis dan rumah amal terbabit dikatakan didiami lebih 60 penghuni, namun telah dikosongkan selepas pihak polis melakukan serbuan di kediaman pemimpin mereka di kampung Panji, Kota Bharu, Sabtu lalu.
Malah, 10 kandang kuda yang berada di lokasi berkenaan juga sudah dikosongkan dipercayai dipindahkan ke kawasan lain dan hanya lebih 500 ekor ayam ditinggalkan di reban berdekatan.
Pelbagai jenis buku berkaitan ajaran Al-Arqam yang ditemui oleh pihak berkuasa itu kemudian dirampas dan dibawa pulang ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan.
Terdahulu, pihak polis menyerbu sebuah penempatan keluarga pengurusan tertinggi GISBH di Kampung Panji yang menempatkan tiga buah rumah dipercayai dihuni 30 individu termasuk isteri kedua dan lebih 20 kanak-kanak.
Dalam operasi itu, puluhan buku berkaitan doktrin diperjuangkan organisasi terbabit dikesan ditanam di tepi sungai berhampiran penempatan berkenaan malah ada yang dibakar dipercayai untuk menghapuskan bukti selain mengelak dari dirampas.
Penemuan ratusan buku dan risalah berkaitan ajaran Al-Arqam dalam serbuan dilakukan di premis berkaitan GISBH di beberapa negeri pada Sabtu lalu itu menjadi satu lagi bukti penting bahawa organisasi berkenaan dipercayai masih berkiblatkan ajaran yang pernah difatwakan sesat pada tahun 1994.
Baca juga: Lepas pengarah eksekutif nafi ada rendaman ‘air berkat’, polis jumpa janggut di premis GISBH