Hubungan cinta antara pelakon, Riena Diana atau nama sebenarnya Nur Qamarina Diana Zulreal dengan aktor terkenal iaitu Keith Foo bukanlah satu rahsia di kalangan peminat.
Pasangan itu juga sentiasa terbuka berkongsi dengan peminat mengenai hubungan mereka berdua melalui gambar, video mahupun siaran langsung menerusi platfrom media sosial.
Hal ini sudah tentu turut menimbulkan tanda tanya berhubung persediaan pasangan itu untuk melangkah ke gerbang perkahwinan dan perbezaan agama antara mereka berdua.
Riena yang mula meraih populariti menerusi lakonannya dalam drama komedi bersiri, Kampung People itu mengakui dirinya enggan memaksa Keith Foo untuk mendalami ilmu agama Islam.
Sebaliknya, pelakon berusia 27 tahun itu lebih selesa sekiranya keinginan kekasihnya untuk mempelajari agama Islam dengan lebih mendalam timbul secara semula jadi, lapor Oh Bulan.
Perkara itu tidak mustahil memandangkan Keith sudah biasa dengan cara kehidupan masyarakat Muslim malah beberapa ahli keluarganya juga ada yang sudah memeluk agama Islam.
“Kami jarang bercakap tentang hal ini (perbezaan agama). Namun kami sedar akan hubungan berbeza agama. Malah sebelum hubungan kami ke arah lebih serius, itu yang kami bincangkan dahulu.
“Sepanjang perkenalan, saya melihat Keith ini sudah biasa berkawan dengan orang-orang Melayu. Setakat perkara-perkara asas, dia memang sudah tahu. Jadinya saya seperti tiada masalah sangat.
“Saya juga nampak Keith ini mempunyai keinginan sendiri untuk belajar. Kerana itu juga saya tidak akan terlalu mendesak. Kakak dan abangnya juga adalah Muallaf. Jadi perkara ini bukan satu yang asing baginya,” katanya memetik Oh Bulan.
Meyakini bahawa hidayah itu datang daripada Allah, Riena mengakui perkara seperti ini tidak boleh dibuat-buat dan akan sentiasa mendoakan yang terbaik untuk teman lelakinya.
Dalam pada itu, Riena turut mendedahkan bahawa pelakon lelaki yang mula dikenali ramai menerusi drama Ariana Rose itu juga gemar mendengar ceramah agama dan bersedekah di masjid.
“Ada kalanya dia beritahu saya, ada mendengar khutbah. Dia cakap akan kongsikan isi khutbah itu. Mulanya saya pelik juga, kenapa dengar khutbah hari-hari? Sebab khutbah selalunya hari Jumaat.
“Rupa-rupanya bagi dia, setiap ceramah itu adalah khutbah. Saya melihat situasi itu sangat comel. Dia ada inisiatif untuk mendalami agama. Macam baru-baru ini, umat Islam menyambut Maulidur Rasul.
“Dia ada bertanya pada hari ini (Maulidur Rasul), biasanya orang Islam akan buat apa? Jadi, Keith sendiri yang memutuskan untuk bersedekah di masjid,” dedah Riena mengenai sikap kekasihnya itu.
Ketika ditanya mengenai persiapan mendirikan rumah tangga, Riena tidak menafikan ada membuat perancangan tetapi mereka lebih memilih untuk memberi fokus kepada kerjaya masing-masing dahulu.
“Setiap orang pasti nak berumah tangga. Bukan tidak merancang, tetapi hubungan saya dan Keith masih baharu. Kami mahu fokus kerjaya dahulu. Seperti sekarang, saya diberi peluang untuk mengacarakan Anugerah Bintang Popular Berita Harian (APBBH).
“Keith nak saya terbang tinggi. Begitu juga saya. Banyak lagi perkara baharu yang Keith ingin ceburi,” ujarnya yang bakal bergandingan dengan Didie Alias dan Haniff Hamzah untuk mengacarakan APBBH 36 yang akan berlangsung 11 Oktober ini.
Baca juga: Watak masih relevan, Gurmit rela jadi Phua Chu Kang sampai tua kalau diberi peluang