Lelaki tiada kerja tetap mohon poligami, mengaku depan hakim hanya ada duit RM50

Oleh WAN SITI AMINAH

Hidup dalam serba kekurangan tidak menghalang seorang lelaki untuk menduakan isterinya hingga sanggup hadir ke Mahkamah Syariah bagi membuat permohonan poligami.

Bukan sahaja tidak memiliki kerja tetap, lelaki itu juga belum mampu memberikan keselesaan kepada isteri dan tiga anaknya kerana masih menumpang di rumah ibunya.

Kedengaran seakan tidak masuk akal, namun itulah situasi sebenar yang berlaku di Mahkamah Syariah seperti didedahkan pengamal undang-undang di media sosial.

Menerusi satu hantaran di platform X, peguam syarie yang dikenali sebagai Atikah itu mengakui mendengar permohonan poligami tersebut berlaku di Mahkamah Syariah.

“Ada dengar kes permohonan poligami. Suami kerja sendiri dengan mengambil upah tolong-tolong orang sahaja dekat pasar malam. Lelaki itu juga tidak memiliki akaun bank.

“Dia hanya mengambil gaji harian secara tunai. Rumah pun tinggal dekat rumah mak dia. Isteri dan tiga orang anak tinggal bersama mak. Hakim tanyalah sekarang ada berapa duit? Lelaki itu jawab ada RM50,” kongsi peguam syarie terbabit.

Menurut peguam syarie terbabit, kes seperti itu berlaku apabila permohonan dibuat hanya berlandaskan nafsu tanpa memahami syarat sebenar untuk berpoligami dalam Islam.

Peguam itu kemudian mendedahkan syarat-syarat untuk berpoligami yang sering kali dilepas pandang oleh lelaki bergelar suami berikutan merasa mampu untuk menikah lebih daripada satu.

Syarat untuk berpoligami :

1) Perkahwinan yang dicadangkan itu patut dan perlu. Patut dan perlu itu seperti isteri sedia ada gila atau tidak dapat memberikan hak-hak persetubuhan.

2) Pemohon perlulah mempunyai kemampuan untuk menanggung tanggungannya dan bakal tangunggannya.

3) Pemohon berupaya memberikan layanan yang adil kepada semua isteri.

4) Perkahwinan yang dicadangkan tidak menyebabkan ‘darar syarie’ (kemudharatan yang diiktiraf oleh Syarak) kepada isteri sedia ada.

“Ini semua syarat yang diperuntukkan dalam undang-undang keluarga Islam. Islam memang membenarkan poligami, tetapi mestilah mengikut syarat dan panduan.” Jelas peguam terbabit dalam hantaran sama.

Baca juga: “Aku tengah mengandung pun suami kantoi ‘langgan’ perempuan, buat dalam bulan Ramadan pula tu”