Terasa sebab ditegur bangun Subuh lambat, lelaki serang imam masjid

Oleh MAISARAH AISYA

Zaman sekarang ramai dilihat terlalu sensitif apabila ditegur malah cepat melenting dan akhirnya buat keputusan diluar kotak.

Hanya kerana ditegur sebab lambat datang solat Subuh, seorang lelaki sanggup menyerang iman masjid.

Kejadian tersebut dikatakan berlaku di sebuah masjid di Sragen, Jawa, Indonesia lapor portal Detik.

Imam tersebut cedera akibat diserang oleh seorang penduduk kampung dengan menggunakan sebilah pisau.

Menurut Ketua Polis Sragen, AKBP Petrus Parningotan, kejadian berlaku pada awal pagi Khamis lalu.

Ia berlaku ketika mangsa sedang mengimamkan solat Subuh di Masjid Al Hidayah, Desa Sambirejo.

Hasil siasatan awal mendapati suspek bertindak sedemikian kerana sakit hati gara-gara ditegur oleh mangsa.

“Kejadian ini didakwa dicetuskan oleh rasa sakit hati suspek kerana mangsa sering menegurnya tidak menjaga kebersihan masjid.

“Selain itu, suspek tersinggung apabila ditegur kerana sering bangun lewat untuk solat Subuh,” ujar Petrus seperti dipetik Detik.

Tambahnya, mangsa dan suspek sudah lama mengenali antara satu sama lain.

Mangsa yang cedera di leher akibat terkena tikaman pisau dikejarkan ke Hospital Dr Oen Kandangsapi, Kota Solo.

Polis yang menerima panggilan segera ke lokasi kejadian dan berjaya menahan suspek.

Difahamkan suspek dibawa ke RSJD Dr Arif Zainuddin Surakarta untuk menjalani pemeriksaan mental.

Baca juga: Malam-malam buat kerja ubah ‘signboard’, GISBH cuba tukar nama hotel?