Pelakon terkenal, Nur Fazura hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Shah Alam pagi ini ditemani peguam syarie iaitu Fakhrul Azman Abu Hassan berserta lima pengawal peribadi.
Fazura, 41, yang mengenakan jubah putih itu tiba di mahkamah sekitar jam 9.25 pagi bagi menghadiri sebutan kes permohonan perceraian yang difailkan olehnya, dua minggu lalu.
Selepas turun dari kenderaan mewah Toyota Vellfire, Fazura sempat menyapa media yang sudah menunggu sejak awal pagi dan memberitahu dia berada dalam keadaan tenang.
Ketika menjawab soalan mengenai anak perempuannya, pemilik nama sebenar Nur Fazura Sharifuddin itu juga berkata bahawa semuanya dalam keadaan baik, lapor Berita Harian.
“Selamat pagi semua. Kita masuk dalam dulu (dewan bicara untuk perbicaraan kes permohonan perceraian).
“Alhamdulillah, saya tenang,” kata pelakon itu di hadapan sekitar 50 pengamal media daripada pelbagai agensi yang hadir untuk membuat liputan, memetik laporan Berita Harian.
Sementara itu, suaminya yang juga pelakon popular iaitu Fattah Amin, 33, tiba lebih awal beberapa minit sebelum itu bersama peguam yang mewakilinya iaitu Zulkifli Che Yong.
Fattah bagaimanapun memasuki ke dewan bicara terlebih dahulu.
Dalam perkembangan terbaharu, mahkamah memutuskan untuk menangguhkan kes perceraian pasangan selebriti itu pada 7 Oktober ini susulan menerima cadangan baharu daripada pihak defendan (Fattah) yang mahu kes diselesaikan secara baik.
Terdahulu, isu keretakan rumah tangga Fazura dan Fattah mula hangat diperkatakan apabila pasangan itu sudah lama tidak meninggalkan komen atau tanda suka dalam akaun media sosial masing-masing.
Fazura bagaimanapun menafikan spekulasi mengenai pergolakan rumah tangganya sambil menjelaskan bahawa khabar tersebut hanyalah andaian malah hubungannya dengan Fattah baik-baik sahaja.
Jelasnya, mereka berdua telah bersepakat untuk tidak menunjukkan kebahagiaan dalam media sosial bagi menghormati isu Palestin dan penderitaan yang dialami saudara Islam di sana.
Untuk rekod, Fazura dan Fattah mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017 sebelum mereka dikurniakan cahaya mata perempuan, Nur Fatima Aisya yang kini berusia empat tahun.
Namun, apa yang mencuri perhatian apabila Fazura tiba-tiba memfailkan perceraian terhadap Fattah sehari sebelum ulang tahun kelahiran suaminya yang bertarikh 14 September.
Butiran lanjut mengenai permohonan cerai juga tidak diperincikan malah Fattah juga mengakui terkejut apabila menerima berita mengenai pemfailan cerai itu melalui media sosial.
Baca juga: “Jika sesuatu yang kau senangi tak terjadi, maka senangilah apa yang terjadi” – Fazura