Majikan berhabis hampir RM500k, hadiahkan 100 pekerjanya dan staf intern iPhone 16 Pro

Oleh KIM SYAZIE

Seorang majikan mencuri tumpuan ramai selepas berbelanja hampir RM500,000 untuk membelikan pekerjanya termasuk para intern telefon pintar jenama iPhone 16 Pro.

Video majikan itu memborong iPhone untuk kira-kira 100 pekerjanya dengan cepat menjadi bualan pengguna media sosial, lapor portal berita NextShark.

Pengasas syarikat Mediastrom yang berpangkalan di Hangzhou, Zhejiang, China mengatakan bahawa setiap pekerja tanpa mengira status mereka sebagai intern atau kakitangan, layak menerima telefon keluaran baharu itu.

Pengasasnya, Tim Pan mendedahkan tawaran murah hati itu dalam mesej dalaman kepada kakitangan, dengan menyatakan, “Tidak kira sama ada anda seorang pelatih atau pekerja baharu, selagi anda berada bersama syarikat pada masa ini, anda akan menerima hadiah ini. 

“Syarikat juga akan menanggung sebarang cukai yang berkaitan, jangan risau,”.

Selain memberikan iPhone baharu, syarikat tersebut turut memberikan pekerjanya Apple Watch Series 10. 

Jurucakap syarikat mengesahkan pemberian itu kepada saluran berita tempatan selepas tangkap layar pengumuman itu tersebar di media sosial.

iPhone 16 Pro merupakan keluaran baharu yang dilancarkan secara rasmi pada 20 September, dengan harga bermula dari USD 999 (sekitar RM4,202) untuk model 128GB.

Pemberian mewah ini bukanlah kali pertama untuk syarikat itu.

Pada 2022, syarikat ini pernah menghadiahkan pekerjanya iPhone 14 Pro, dan pada 2023, mereka menerima iPhone 15 Pro.

Baca juga: Terasa sebab ditegur bangun Subuh lambat, lelaki serang imam masjid