Syamsul Yusof tuntut Ira Kazar kembalikan harta semasa berkahwin? Ini pendedahan peguam Ira

Oleh KIM SYAZIE

Pengarah Syamsul Yusof didakwa membuat tuntutan terhadap beberapa harta yang diberikan kepada bekas isterinya, Ira Kazar selepas mereka bercerai 5 September lalu.

Bagaimanapun difahamkan, harta yang dituntut adalah pemberian ketika mereka masih berstatus suami isteri, menurut peguam Syarie Ira, Mohammad Fadhil Abdul Razak

Justeru Mohammad Fadhil berkata, pihaknya tidak bersetuju apabila hadiah yang diberikan, perlu dipulangkan semula.

“Ya, pihak sana (Syamsul) ada meminta beberapa tuntutan ke atas anak guam saya (Ira). Tetapi kami tidak bersetuju memandangkan perkara tersebut berlaku dalam tempoh perkahwinan mereka.

“Bukan tidak mahu bersetuju dengan tuntutan tersebut tetapi dari segi hukum syarak sudah dinyatakan apabila sudah diberikan tidak akan dipulangkan semula.

“Kami juga tidak setuju apabila hadiah yang diberikan itu dipulangkan semula,” katanya selepas hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Keramat semalam.

Mengulas lanjut, Mohammad Fadhil memberitahu pihaknya ada memberikan beberapa cadangan bagi menyelesaikan perkara itu.

Namun, setakat ini masih belum ada kata putus daripada kedua-dua belah pihak termasuk enggan mendedahkan secara terperinci mengenai butiran lanjut tentang tuntutan itu.

Sementara itu dilaporkan, Ira Kazar telah menuntut RM3,000 dari Syamsul sebagai kos kehadirannya ke mahkamah.

Tetapi mahkamah memerintahkan pembayaran kos sebanyak RM200 kepada Ira.

Untuk rekod, pasangan itu bernikah di Thailand pada 6 Januari awal tahun ini.

Baca juga: Majlis lagi 3 minggu, mak cik ini berjalan sakan pakai gelang hantaran bakal menantu