“Atok dah pencen nak!” Chef Wan tak dengki dengan pencapaian Khairul Aming

Oleh MAISARAH AISYA

Zaman sekarang dengan media sosial pastinya ramai memandang tinggi terhadap cef selebriti, Khairul Aming disebabkan video memasaknya yang senang diikuti.

Namun tidak ada keperluan untuk membandingkan dia dengan cef selebriti terkenal Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan.

Menerusi hantaran di Instagram, Chef Wan hanya mampu tertawa melihat dirinya dibandingkan dengan Khairul Aming walaupun jelas pencapaian mereka berbeza.

“Saya tergelak bila ada orang hantar video ni kepada saya, mereka tanya apa komen saya lepas lihat perbandingan antara saya dan Khairul Aming.

“Atok orang lama dah masuk zaman purba dah, layan TikTok pun tak ada masa. Buat apa nak bandingkan pengalaman dan pencapaian masing-masing.

“Mengapa nak bazirkan masa dengan mengalakkan orang ramai untuk mengumpat dan mengata di media sosial, ini bazir tenaga sahaja.

“Lepas 34 tahun dalam industri ini dan segala sumbangan saya diberikan kepada negara, jika mereka tak melihat ia sekalipun, tak berkudis badan saya,” ujarnya di Instagram.

Baginya setiap individu ada pendapat masing-masing dan tidak perlu membandingkan kerana jelas pengalaman dan latar belakang kami berdua jelas berbeza.

“Atok dah pencen nak! Saya selesa dengan kehidupan dan menikmati hari persaraan saya. Lagipun ia adalah perjalanan yang sangat panjang, mencabar dan meletihkan.

“Khairul juga menjadi sumber inspirasi kepada saya dan seluruh rakyat Malaysia pasti bangga dengan dia,” tambahnya.

Pada masa sama Chef Wan memaklumkan tidak perlu melayan komen negatif dan merosakkan hari dengan membaca komen yang tak beri satu manfaat pun.

Baca juga: “Syurga haram ke atas wanita seperti itu”, UAI ulas isu isteri minta cerai tanpa sebab