“Terima kasih Daddy Fatima” – Fazura terima jambangan bunga dan kiriman doa dari Fattah Amin

Oleh WAN SITI AMINAH

Pelakon, Fattah Amin tidak lupa untuk memberikan ucapan hari jadi kepada isterinya iaitu aktres, Nur Fazura walaupun mereka kini sedang diuji dengan masalah rumah tangga.

Ucapan itu disampaikan oleh Fattah atau nama sebenarnya, Abdul Fattah Mohd Amin dalam bentuk kad bersama hadiah jambangan bunga sempena ulang tahun kelahiran Fazura yang ke-41.

Dalam kad ucapan itu, Fattah turut menitipkan doa supaya Fazura sentiasa gembira selain berharap agar kehidupan isteri tersayang diredai dan diberkati oleh Allah SWT.

Mommy, selamat hari lahir MommyDaddy doakan di hari kelahiran Mommy supaya sentiasa gembira, dimurahkan rezeki, diberi perlindungan Allah, kebahagiaan dunia dan akhirat selamanya – Daddy,” tulis Fattah dalam kad tersebut.

Gambar jambangan bunga dan kad ucapan itu dikongsikan oleh Fazura menerusi satu hantaran di Instagram Story pada pagi Jumaat dengan kapsyen, ‘Terima kasih Daddy Fatima’.

Pemilik nama sebenar Nur Fazura Sharifuddin itu turut memuat naik video menerusi platform sama memaparkan kek hari jadi kiriman keluarganya yang dihiasi dengan dua patung mirip dirinya dan Fatima iaitu anak perempuan mereka.

Fazura sebelum ini telah menegaskan bahawa keputusannya untuk bercerai dengan Fattah adalah muktamad selepas membuat pertimbangan sewajarnya termasuklah berhubung masa depannya dan Fatima.

Usahawan tudung itu juga memaklumkan bahawa keputusan tersebut diambil demi maruahnya sebagai wanita selain meminta orang ramai mendoakan supaya proses penceraian itu dapat disempurnakan.

Terdahulu, isu keretakan rumah tangga Fazura dan Fattah mula hangat diperkatakan apabila pasangan itu sudah lama tidak meninggalkan komen atau tanda suka dalam akaun media sosial masing-masing.

Fazura bagaimanapun menafikan spekulasi mengenai pergolakan rumah tangganya sambil menjelaskan bahawa khabar tersebut hanyalah andaian malah hubungannya dengan Fattah baik-baik sahaja.

Untuk rekod, Fazura dan Fattah mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017 sebelum mereka dikurniakan cahaya mata perempuan, Nur Fatima Aisya yang kini berusia empat tahun.

Namun, apa yang mencuri perhatian apabila Fazura tiba-tiba memfailkan perceraian terhadap Fattah sehari sebelum ulang tahun kelahiran suaminya yang bertarikh 14 September.

Butiran lanjut mengenai permohonan cerai juga tidak diperincikan malah Fattah juga mengakui terkejut apabila menerima berita mengenai pemfailan cerai itu melalui media sosial.

Pasangan terbabit kemudian hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Shah Alam pada Rabu lalu untuk menghadiri sebutan kes permohonan perceraian yang difailkan itu.

Mahkamah bagaimanapun memutuskan untuk menangguhkan kes perceraian mereka pada 7 Oktober ini susulan menerima cadangan baharu daripada pihak defendan (Fattah) yang mahu kes diselesaikan secara baik.

Baca juga: 25 tahun dalam industri, gosip cinta bukan gimik murahan, Tyzo akui masih berkawan dengan Lydia Rosli