Suami menangis di parkir lot KLIA, dapat tahu isteri curang dengan murid Tingkatan 5

Oleh WAN SITI AMINAH

Hati suami manakah yang tidak hancur berkecai apabila isteri kesayangan tergamak mengkhianati ikatan suci perkahwinan dengan berlaku curang bersama lelaki lain.

Lebih memburukkan keadaan, sang isteri yang dipercayai bertugas sebagai guru itu menjalinkan hubungan sulit dengan pelajarnya sendiri iaitu remaja berusia 17 tahun.

Difahamkan, hubungan tersebut terbongkar selepas pasangan berkenaan bertukar telefon sebelum sang isteri menaiki pesawat menuju ke negeri tempatnya bekerja.

“Assalamualaikum, aku lelaki berusia 28 tahun. Hati aku hancur-sehancurnya sebaik dapat tahu isteri jalinkan hubungan dengan pelajar sekolah dia sendiri iaitu remaja Tingkatan Lima.

“Aku tahu selepas kami bertukar telefon sebelum isteri menaiki pesawat ke Sabah. Aku tengok akaun TikTok dia belum log keluar. Baca pula peti pesanan mesej, mereka siap ber ‘ayang-sayang’, hantar video dan rancang pergi melancong berdua.

“Aku terus menangis dekat parkir lot Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) itu selepas dapat tahu isteri curang belakang aku. Sempat juga periksa galeri dia dan aku juga gambar pelajar itu berdua dengannya,” kata sang suami.

Perkongsian tersebut dibuat oleh sang suami tanpa mendedahkan identiti sebenarnya menerusi hantaran yang dimuat naik di platform X (dahulu dikenali sebagai Twitter).

Memandangkan semua bukti sudah berada di tangannya, sang suami berniat untuk memfailkan tuntutan nusyuz sahaja namun mengakui masih menyayangi isterinya itu.

“Aku sudah cukup bukti ini nak tuduh dia nusyuz. Tetapi aku masih menyayangi dia. Macam mana nak tegur isteri aku ini ya. Kalau biarkan sahaja, dayuskah aku? Ada akta ke berkenaan pendidik bercinta dengan pelajar dia sendiri?

“Aku tak tahu, buntu nak buat macam mana. Bukti semua cukup termasuk tangkap layar perbualan mereka di TikTok, gambar berdua dan juga rekod panggilan. Itu baru dalam TikTok. Belum di aplikasi Whatsapp. Entah apalah mereka bualkan.

“Sejak isteri mengajar jauh dekat sana lagi aku sudah mula ‘overthinking’. Tetapi tak sangka pula benar belaka. HANCUR HATI AKU, HANCUR-SEHANCURNYAA. Hati ini retak berkeping-keping.” Luah lelaki itu.

Baca juga: “Bila aku nak tolong masak, mak mentua cakap jangan semak kat dapur, pastu canang aku pemalas”