40 tahun dalam industri, pelakon otai kecewa ada pihak mahu bayar RM300 sehari

Oleh MAISARAH AISYA

Jika dilihat di luar negara, selebriti yang berusia dibayar lebih berdasarkan pengalaman mereka dalam industri.

Namun yang sebaliknya pula berlaku di Malaysia, mereka yang lebih otai ini dibayar kurang dek kerana sudah tidak ‘relevan’ dan bukan lagi muka baru.

Buat pelakon otai Kenji Sawahi, dia terpaksa menolak dua tawaran untuk drama dan telefilem kerana bayaran tidak setimpal iaitu RM300 sehari lapor Harian Metro.

Pelakon berus 61 tahun itu kesal melihat bayaran rendah untuk pelakon senior malah menganggap ia tidak masuk akal.

“Baru-baru ini, ada dua projek lakonan saya tolak iaitu drama dan telefilem. Bahkan, satu daripada projek itu sesi penggambaran dramanya masih berjalan sekarang.

“Cuma, bagi saya agak teruklah ‘offer’ (tawaran) bayarannya. Boleh tak, saya dalam bidang ini (lakonan) sudah 40 tahun, tapi ‘offer’ bayaran saya terima masih RM300 sehari.

“Tak masuk akal walaupun watak untuk saya itu hanya ‘supporting’ (pembantu). Walaupun wataknya kecil, kalau awak panggil saya untuk berlakon sebagai ‘cameo’ pun, sepatutnya kenalah bayar tinggi sedikit sebab kita dipanggil jadi ‘cameo’ itu mesti kerana orang suka.

“Peminat saya masih banyak lagi. Macam ketika saya berlakon drama Dollah Deabak untuk TV3 dulu, orang suka dan ada yang jerit nama saya ketika berjumpa di stesen minyak,” katanya seperti dipetik Harian Metro.

Menurut Kenji atau nama sebenarnya Lim Boon Wah, kebanyakan peminatnya adalah penonton dewasa dan masyarakat kampung yang sangat menghargai lakonan.

“Cuma, saya dapati bayaran rendah untuk pelakon senior ini terjadi di Malaysia saja. Kalau di negara lain seperti Thailand, Indonesia, Filipina, Taiwan dan Hong Kong, tak payah cakap, lagi berumur lagi berharga.

“Sebab pelakon senior ini ada ‘life experience’. Kita yang lakonannya meletop (mantap) itu boleh tengok mesti pelakon yang ‘life experience’ banyak kerana dia boleh ‘polish’ watak dengan baik,” katanya.

Meskipun kecewa, Kenji memaklumkan masih ada ruang perbincangan dengan pihak produksi sekiranya skrip projek diterima itu bagus.

“Kalau projek lakonannya bagus dengan skrip yang menarik, siapa yang tak nak ‘involve’. Kita bukan tak boleh langsung dibawa berbincang. Itu pun selalu yang saya cakap dengan penerbit.

“Kita (pelakon) boleh saja bertolak ansur (soal bayaran), tapi janganlah menolak saya sampai ke dinding (dengan bayaran terlalu rendah). Itu tak masuk akal,” katanya.

Baca juga: Berapa iShowSpeed bayar untuk sebiji burger special di Malaysia? Yang pasti bukan duit USD