Siapa sangka, penyanyi rock lagenda yang mempunyai raut wajah garang iaitu Datuk Awie pernah berperwatakan agak lembut suatu ketika dahulu.
Malah pemilik nama sebenar Ahmad Azhar Othman itu juga gemar mengikuti aktiviti tarian sewaktu di bangku persekolahan selain menjadi wakil dalam sukan gimnastik.
Vokalis kumpulan Wings itu juga merupakan peminat kepada penyanyi, Boy George sehingga terikut-ikut dengan karakter selebriti daripada United Kingdom tersebut.
Perkara tersebut didedahkan oleh penyanyi berusia 56 tahun itu menerusi satu sesi temu bual bersama Gempak dalam rancangan ‘Pintu Belakang The Chosen One’.
“Saya lembut dahulu. Saya juga penggemar Boy George. Sehingga sanggup bersolek dan pakai pakaian seperti Boy George. Saya lembutlah dahulu.
“Saya suka menari, contohnya zapin. Saya juga masuk pertandingan nasyid dan semua pertandingan lain yang berkaitan dengan seni. Gimnastik pun dulu saya wakil sekolah,” katanya memetik Gempak.
Mengulas lanjut, penyanyi berkenaan turut mendedahkan kemampuannya ketika zaman persekolahan di Ampang termasuklah melakukan aksi akrobatik seperti ‘split‘ dan ‘backflip’.
Walau bagaimanapun, bapa kepada tujuh orang cahaya mata itu bersyukur kerana dirinya kini sudah berubah dan tidak lembut seperti dahulu lagi.
“Saya dulu sekolah di Ampang. Badan saya boleh split dan backflip. Jadi sebenarnya sebelum berperwatakan kasar, saya seorang yang lembut. Tetapi saya bersyukur sekarang sudah tak jadi lembut.” Jelas penyanyi veteran itu.
Awie sebelum ini pernah mendedahkan bahawa dirinya adalah salah seorang ahli gimnastik di sekolahnya iaitu Sekolah Menengah Seri Ampang, Kuala Lumpur selain turut mewakili sekolah untuk menjalani kursus Saintifik Gimnastik Kanada.
Difahamkan, idola Awie ketika itu adalah Nadia Elena Comaneci Conner iaitu seorang ahli gimnastik daripada Romania yang pernah memenangi lima pingat emas dalam Sukan Olimpik ketika mewakili negeranya.
Baca juga: Lagu tak sesuai usia, status ibu, Ayda Jebat terima segala kritikan