Akaun Instagram pelawak dan pengacara, Jihan Muse kini dibanjiri pelbagai kritikan susulan didakwa memerli dan menjadikan orang lain sebagai bahan jenaka dalam satu program televisyen.
Rata-rata pengguna media sosial meluahkan rasa tidak senang dan kecewa apabila melihat sikap Jihan yang didakwa tidak profesional ketika mengendalikan program hiburan berkenaan.
Kritikan tersebut ditinggalkan di ruangan komen Instagram milik Jihan ekoran ramai pengguna berpendapat bahawa lawak memerli dan menjadikan orang lain sebagai bahan jenaka sudah ketinggalan zaman.
Jihan sebagai personaliti yang dikenali ramai juga turut diminta untuk menghormati pengacara lain serta berlawan secara sihat sekiranya menganggap mana-mana individu sebagai pesaing.
Difahamkan, isu tersebut timbul selepas seorang lagi pengacara yang juga pelakon popular iaitu Elly Mazlein menegur sikap segelintir hos didakwa gemar menjadikan orang lain sebagai bahan jenaka.
“Tak habis perli Haziq (pasangan pengacara Jihan) orang baru Astro dan kenapa nak perli Kak Lina. Rancangan ini ditonton kanak-kanak dan ibu bapa. Maka jadilah pengacara berhemah, beradab dan beretika. Tidak memerli dan menjadikan orang lain sebagai bahan lawak,” kata seorang netizen.
“Beza orang ada ilmu dan kosong. Kadang-kadang ada juga rasa kasihan dekat bekas-bekas pelawak yang terlalu mencuba sangat macam ini. Melawak dengan memerli dan memalukan org lain, zaman 20 tahun lepas bolehlah. Sedihh!” kongsi pengguna lain.
Terdahulu, Elly yang mesra disapa Kak Lina Pom Pom itu secara terbuka menegur pengacara yang disifatkan tidak berpuas hati dengannya selepas mendakwa masih dijadikan bahan sindiran oleh individu berkenaan.
Teguran itu dibuat oleh pemilik nama sebenar Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi menerusi satu hantaran video pendek di Instagram Story memaparkan individu terbabit bersama seorang lagi pengacara iaitu Haziq Hussni dalam sebuah program realiti.
“Biarlah lawak menyanyi berulang-ulang kalau dengan cara itu boleh menghiburkan. Daripada lawak ulang-ulang main nama bapa, memerli, membahan dan yang paling tak tahan lawak tahi lalat ‘chipsmore’ berulang dari musim pertama sampailah berpuluh musim.
“Inilah contoh hanya hiasan menutup bangkai di longkang. Penunggang 2024, sekian tajuk album. Lupakan aku dalam kepala otak kau boleh?,” luah Elly dalam hantaran tersebut.
Pelantun lagu Janji Kekasih itu turut berdoa agar dirinya sentiasa menjadi seorang pengacara profesional tanpa perlu ‘membahan’ orang lain selain memberi semangat kepada Haziq Hussni untuk terus melebarkan sayapnya.
Elly turut menyimpan video itu dalam ruangan ‘highlight’ dengan tajuk Pengacara Sampah dan Penunggang 2024 di mana kelihatan pengacara Jihan Muse dan Haziq menyanyikan lagu Mengintai Dari Tirai Kamar nyanyian asal Exists.
Nyanyian bagaimanapun terhenti selepas Jihan menegur Haziq berikutan tidak senang melihat gaya lelaki itu yang didakwa berlebih-lebih kononnya seperti seseorang pernah dikenalinya sebelum ini.
“Kejap-kejap, aku ingat ada seorang sahaja macam ini tau dalam Astro. Ada seorang versi perempuan, aku tak tahu kau sudah muncul dalam Astro,” seloroh Jihan kepada Haziq dalam rakaman tersebut yang didakwa seperti memerli perlakuan Elly Mazlein.
Baca juga: 40 tahun dalam industri, pelakon otai kecewa ada pihak mahu bayar RM300 sehari