Susulan membuat pendedahan mengenai status rumah tangganya, usahawan yang juga pempengaruh terkenal iaitu Jofliam kembali menjadi sorotan selepas berkongsi gambar swafoto bersama pekerjanya.
Difahamkan, pekerja wanita berstatus isteri orang itu adalah individu yang dituduh menjadi orang ketiga dalam perkahwinan Jofliam atau nama sebenarnya, Jofli Abu Bakar bersama isterinya iaitu Cik Epal.
Menerusi satu hantaran di Instagram Story, Jofliam tampil menjelaskan bahawa tiada apa yang istimewa dengan swafoto berkenaan malah hanya menyifatkannya sebagai ‘gambar biasa’.
“Ini adalah gambar biasa bagi saya. Gambar ini juga dipersetujui oleh saya sebelum dikongsikan. Sama sahaja dengan swafoto lain bersama pelanggan dan pekerja saya pada ‘trip’ sebelum ini.
“Buat kenangan. ‘Bang (tangkap) satu gambar jom’, tak akan saya nak kata tak boleh? Tangkap sahajalah,” tulis ahli perniagaan yang berusia 36 tahun itu dalam hantaran berkenaan.
Penjelasan diberikan Jofliam itu bagaimanapun tidak disambut baik oleh pengguna media sosial yang rata-ratanya tidak bersetuju dengan pendapat usahawan terbabit mengenai swafoto tersebut.
Tindakan usahawan itu bukan sahaja disifatkan tidak menghormati Cik Epal sebagai isterinya malah tidak manis dikongsikan memandangkan Jofliam dengan pekerjanya juga bukan mahram.
Keadaan juga semakin keruh apabila gambar berdua yang lain pula dimuat naik oleh pekerja wanita berkenaan di Instagram Story miliknya turut tersebar luas di pelbagai platform media sosial termasuk laman X.
“Kalau suami aku bergambar dengan perempuan macam ini, memang siap dia kena ganyang. Kerja tak kerja. Kau Islam kot. Patut tahu batas kau sebagai lelaki muslim dengan perempuan bukan mahram. Bingai punya jantan,” kata seorang pengguna.
“Dia kata ini gambar biasa? Dia tak tahu kita sebagai isteri remuk hati bila suami ada gambar berdua dan rapat pula itu dengan perempuan lain termasuklah pekerja sendiri,” kongsi pengguna lain yang tak bersetuju dengan penjelasan Jofliam.
Sebelum ini, Jofliam membuat pendedahan mengenai pergolakan rumah tangganya yang bermula sejak empat bulan lalu apabila lelaki itu dituduh berlaku curang dengan pembantu peribadi ketika pergi bercuti di Jepun bersama beberapa pekerjanya.
Pemilik perniagaan pizza itu juga tidak pasti dengan status perkahwinannya sendiri selain mendakwa dirinya mungkin bukan lagi suami kepada pempengaruh, Cik Epal atau nama sebenarnya, Murni Mahmud.
Sekadar info, Jofliam yang terkenal dengan Pizza Wagyu itu kini berada di Milan, Itali untuk menyertai pertandingan Top 100 Pizza dan pekerja wanita berkenaan turut ikut bersama.