Ramai sebak lihat bapa sanggup usung tangki oksigen demi hadiri konvokesyen anak sulung

Oleh KIM SYAZIE

Kisah seorang bapa berusia 52 tahun yang sanggup mengusung tangki oksigennya untuk menghadiri majlis konvokesyen anak kesayangannya, menyentuh hati ramai.

Bapa tersebut, Jasni Mohd Noor difahamkan menghidap penyakit kanser kelenjar air liur atau Adenoid Cystic Carcinoma, sejak setahun lalu.

Namun dia tetap gagahkan diri menyaksikan anak sulungnya menerima Diploma Seni Bina di Majlis Konvokesyen Kali Ke-31 di Politeknik Port Dickson.

Menurut laporan Berita Harian, Jasni adalah seorang Pensyarah Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.

“Bagi saya yang penting adalah mahu melihat wajah gembira anak sulung saya dan turut ditemani isteri, Jamilah Abbas, 51, juga pensyarah di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam serta dua anak lelaki.

“Sekarang Jemima sudah sambung belajar di Universiti Malaysia Pahang (UMP) dalam bidang Ijazah Pengurusan Projek, sejak setahun lalu, dan saya berbangga kerana dia ada kemahuan yang tinggi.

“Buat masa sekarang, saya terpaksa mengambil cuti yang panjang dan berharap ia tidak menjadi penghalang kepada kejayaan anak-anak saya,” katanya seperti dilapor.

Sementara itu, Jamima Saffieya berkata, dia terharu kerana ayahnya tetap mahu hadir biarpun agak uzur dan bergantung kepada tangki oksigen setiap masa.

“Dia kerap menghubungi saya sepanjang belajar di sini, malah turut bimbang selepas dia disahkan menghidap penyakit yang amat bahaya namun semangatnya cukup kuat, itu yang saya kagum dengan ayah,” katanya.

Baca juga: Naik berang ditegur pekerja restoran kerana merokok, pelanggan campak cawan kaca