Tular video pelajar meraung disimbah air cili, isteri pemimpin sekolah pondok ditahan

Oleh MALAYSIADATELINE

Air cili dipercayai menjadi punca seorang remaja yang merupakan pelajar di sebuah sekolah pengajian pondok atau tahfiz meraung kesakitan sebelum terjun ke dalam kolah.

Menerusi satu rakaman tular, pelajar terbabit menjerit memberitahu badannya terasa sakit dan pedih sebelum seorang wanita dipercayai neneknya cuba menenangkan remaja itu.

Walaupun neneknya sudah berusaha melumurkan badan remaja itu dengan sabun, namun rasa pijarnya masih belum hilang sehingga membuatkannya terjun ke dalam kolah air.

Kejadian dilaporkan berlaku di Aceh Barat, Indonesia dan pihak polis sudah menahan isteri kepada pemimpin sekolah pengajian pondok itu kerana menyiram air cili kepada pelajar terbabit.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Daerah Aceh Barat, Iptu Fachmi Suciandy, penahanan suspek dibuat selepas keluarga kepada mangsa yang berusia 13 tahun itu melaporkan kejadian tersebut kepada pihak polis.

Difahamkan, suspek yang berusia 40 tahun itu bertindak menyiramkan air cili kepada mangsa sebagai hukuman kerana remaja berkenaan didapati merokok, lapor Detik News.

Jelas Fachmi, kes penganiayaan terhadap kanak-kanak itu berlaku pada Isnin lalu selepas mangsa didapati merokok di mana pengurus sekolah pondok atau pesantren sudah memberikan hukuman.

Setelah mangsa mendapatkan hukuman tersebut, suspek bagaimanapun mungkin merasa masih tidak berpuas hati lalu menyiram pula air cili kepada remaja malang terbabit.

Baca juga: Indonesia rupanya pernah ‘claim’ lagu Negaraku diciplak dari negara mereka