Tular rakaman ‘influencer’ pandu kereta laju waktu hujan sebelum kemalangan, undang kecaman netizen

Oleh MALAYSIADATELINE

Seorang pempengaruh gajet menjadi sasaran kecaman pengguna media sosial baru-baru ini susulan tularnya satu rakaman memaparkan pemanduan individu terbabit sebelum terlibat dalam kemalangan.

Menerusi rakaman kamera papan pemuka (dashcam) itu, kereta milik pempengaruh berkenaan dilihat seperti dipandu dengan laju meskipun keadaan cuaca ketika itu sedang hujan.

Rakaman yang dipercayai memaparkan kejadian sebelum kemalangan berlaku telah membangkitkan kemarahan orang ramai terhadap tindakan personaliti media sosial berkenaan.

Hal ini kerana tindakannya bukan sahaja membahayakan dirinya sendiri malah turun mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain termasuk pemandu lori yang terlibat dalam kemalangan itu.

Lebih memburukkan keadaan, pempengaruh berkenaan juga sempat memuat naik video jenaka ‘sapu minyak gamat’ kepada kereta miliknya sedangkan kemalangan itu turut menjejaskan orang lain.

“Hujan lebat macam itu, tayar mahal macam mana pun, tetap licin. Tengok cara potong pun rapat sangat. Macam baru dapat lesen kereta. Aku pun tak berani bawa laju macam itu. Semoga dipermudahkan dan ambil iktibar,” kata seorang pengguna.

“Sudah berhenti melanggan akaun dia dekat Youtube. Tak mahu lagi sokong orang yang membahayakan orang lain,” kongsi salah seorang pengikut akaun media sosial milik pempengaruh berkenaan.

“Apabila sempat buat content (kandungan) ini yang buat aku tertanya-tanya. Selepas ini jangan pula buat content yang salahkan kereta atau ujian Tuhan pula.” Kesal pengguna lain.

Berdasarkan perkongsian di akaun media sosial milik pempengaruh itu, kenderaan elektrik (EV) jenama MG4 XPOWER miliknya rosak teruk akibat kemalangan dengan sebuah lori.

Manakala lori tersebut pula difahamkan terpaksa dihantar ke bengkel kenderaan selepas terlibat dalam kemalangan berkenaan.

Baca juga: Tular video pelajar meraung disimbah air cili, isteri pemimpin sekolah pondok ditahan