Mat Salleh terkejut kereta Myvi masih hidup lepas 4 tahun tersadai, sayang pula nak lupuskan

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang pemilik Perodua Myvi langsung tidak menyangka kereta miliknya yang telah dibiarkan tersadai selama empat ke lima tahun masih dapat berfungsi dengan baik.

Malah ketika pedal minyak ditekan, bunyi deruman enjin yang keluar daripada Myvi berkenaan masih terdengar ‘garang’ menandakan kereta itu masih boleh digunakan.

Hal ini membuatkan pemilik Perodua Myvi di luar negara terbabit mula merasa menyesal berikutan terfikir mahu melupuskan kereta buatan Malaysia yang sudah lama tidak digunakan itu.

Menerusi satu perkongsian video yang tular di laman TikTok, pemilik kereta terbabit merakamkan detik ketika Myvi itu dihidupkan semula setelah sekian lama tersadai.

Seorang pemuda dipercayai mekanik turut tampil dalam video berkenaan di mana kenderaan tersebut berjaya dihidupkan olehnya semula dengan bantuan caj bateri.

Berdasarkan nombor pendaftaran kenderaan yang dipaparkan di dalam rakaman itu, pemilik kereta Perodua Myvi berkenaan dipercayai berasal daripada United Kingdom.

“Cuma nak rakam keadaan kereta saya buat kali terakhir. Tak sangka pula boleh hidup semula dengan satu kali cubaan selepas empat ke lima tahun (dibiarkan tersadai).

“Bunyinya masih baik (deruman enjin) kan? Saya rasa menyesal cakap nak lupuskan kereta ini. Tetapi saya perlu lupakan masa silam saya,” kata pemilik kenderaan dalam perkongsian itu.

Difahamkan, Perodua Myvi berkenaan mungkin tidak jadi dilupuskan sebaliknya dijual semula memandangkan kenderaan tersebut masih mempunyai nilai di pasaran negara itu.

Menurut perakam video, kenderaan yang digelarkan raja jalanan atau ‘king of the road’ di Malaysia itu pernah dijual dengan harga setinggi £2,000 (pound) iaitu kira-kira RM11,077.92.

Baca juga: Tular rakaman ‘influencer’ pandu kereta laju waktu hujan sebelum kemalangan, undang kecaman netizen