Rakyat Malaysia terpaksa tinggalkan suami, bawa anak keluar dari Lubnan demi keselamatan

Oleh MALAYSIADATELINE

Demi keselamatan keluarga, seorang rakyat Malaysia yang tinggal di Lubnan selama 18 tahun terpaksa meninggalkan negara itu tanpa kehadiran suami tersayang di sisi.

Rakyat Malaysia yang dikenali sebagai Angel Lee itu mengakui rumahnya di Naccahe terasa bergoyang apabila Israel menggugurkan bom di bahagian selatan Lubnan meskipun jaraknya agak jauh.

Dalam usaha menenangkan diri, Angel tidak akan membuka televisyen (TV) ataupun radio kerana wanita berusia 47 tahun itu enggan melihat kemusnahan akibat perang yang boleh menjejaskan emosi.

Menurut Angel, peperangan ini adalah kali kedua yang pernah dihadapinya semenjak tinggal di Lubnan namun dalam suasana berbeza berikutan ia membabitkan banyak negara lain dan boleh mengancam keselamatan keluarganya.

Keadaan itu mendorong Angel dan dua anaknya yang juga rakyat Malaysia masing-masing berusia 17 dan 14 tahun mengambil keputusan untuk meninggalkan Lubnan, lapor Berita Harian.

“Sebenarnya kawasan kediaman saya di Naccahe yang berdekatan Kedutaan Amerika Syarikat ini masih aman. Kehidupan kami berjalan seperti biasa berbanding perang yang semakin meruncing di bahagian selatan Beirut.

“Sebab itu saya tidak mahu ketenangan ini tergugat, jadi saya enggan buka TV dan radio yang sentiasa memaparkan berita peperangan yang memusnahkan segala-galanya.

“Bimbang keadaan menjadi semakin buruk yang mungkin sampai ke kawasan kami, suami iaitu Abdallah Sacca, 52, membenarkan kami keluar dari Lubnan. Saya sedang kemas barangan yang perlu dibawa pulang dan akan sampai ke Kuala Lumpur, Selasa ini,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Sementara itu, Angel juga merasa sangat terharu dengan kesungguhan kerajaan bersama kakitangan Kedutaan Malaysia di Beirut dalam memastikan keselamatan rakyat yang berada di Lubnan ketika peperangan berlaku.

Malah kerajaan juga bersedia menampung kos suami Angel yang merupakan warganegara Lubnan untuk keluar daripada negara itu namun lelaki berkenaan enggan meninggalkan tanah airnya.

“Bukan setakat mahu membawa keluar rakyatnya, kerajaan turut sedia menampung kos suami saya yang juga warga Lubnan untuk keluar dari sini, tetapi suami memilih kekal di negaranya. Krisis selepas perang amat membimbangkan.

“Keadaan menjadi buruk selepas perang apabila pelarian yang kehilangan kediaman akan memasuki rumah penduduk lain seperti berlaku sebelum ini. Saya bimbang keadaan sama akan berlaku di rumah kami sebab kita tak boleh jangka apa berlaku selepas ini.

“Jadi, lebih baik kami keluar ketika proses evakuasi ini berlangsung. Kami tidak mahu terperangkap dalam perang nanti kerana keadaan semakin meruncing di selatan,” ujar wanita itu.

Terdahulu, kerajaan Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan rejim Zionis Israel yang berterusan melancarkan serangan ketenteraan melalui serangan udara dan darat ke atas Lubnan.

Tentera Israel dilaporkan menyerang ibu pejabat perisikan Hezbollah di Beirut ketika pasukannya bertempur dengan pejuang di sempadan dan pesawat tempur membedil kubu kuat mereka di seluruh Lubnan.

Sebelum ini, rejim Zionis telah mengumumkan bahawa minggu ini tenteranya sudah memulakan ‘serangan darat’ ke beberapa bahagian di selatan Lubnan termasuk kubu kuat Hezbollah selepas beberapa hari pengeboman berat dilakukan di kawasan dikuasai kumpulan itu.

Pengeboman itu telah menyebabkan lebih 1,000 orang terkorban dan memaksa ratusan ribu penduduk untuk melarikan diri dari rumah mereka di sebuah negara yang sudah sedia terperangkap dalam krisis ekonomi dan politik.

Dalam pada itu, Angel yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan turut berkongsi cerita tentang peperangan kali pertama dilaluinya pada 2006 ketika baru sahaja bergelar isteri kepada Abdallah Sacca.

Angel waktu itu dapat menyaksikan sendiri kekejaman dilakukan rejim Zionis yang bertindak mengebom lokasi strategik terutama infrastruktur awam termasuk lapangan terbang, jalan dan juga jambatan.

“Ketika itu, kami tinggal di Jouneih dan saya melihat sendiri Israel memusnahkan jambatan berdekatan kediaman kami. Bagi penduduk Lubnan, peperangan sebegini mungkin biasa dan yakin keadaan akan kembali normal.

“Namun, kali ini ia membabitkan negara lain termasuk Iran dan kami bimbang keadaan semakin buruk. Walaupun anak tidak gembira untuk keluar dari Lubnan kerana sesi persekolahan mereka baru bermula bulan lalu.

“Malah saya sendiri terpaksa meninggalkan suami di sini, tetapi kami tiada pilihan demi keselamatan.” Kesal wanita yang tinggal di sebuah kedimaan yang terletak kira-kira 11 kilometer daripada Beirut itu.

Baca juga: Pertama kali datang Malaysia, wanita Maghribi terkejut kaum hawa di sini tak pergi solat Jumaat