Baru-baru ini tular satu rakaman di platform TikTok memaparkan keadaan penutup simen yang terangkat di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur sehingga mencetuskan kebimbangan orang ramai.
Dalam rakaman berdurasi 25 saat itu, penutup simen berkenaan dilihat terbuka dan tertutup berulang kali dipercayai akibat tekanan udara di bawah tanah yang terlalu tinggi.
Insiden itu dikatakan berlaku berhampiran kawasan tanah jerlus yang mengakibatkan seorang wanita warga India hilang Ogos lalu menimbulkan kekhuatiran orang ramai sekiranya kejadian tersebut bakal berulang lagi.
Merujuk kepada penularan video tersebut, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tampil menjelaskan bahawa kejadian tersebut dipercayai berlaku akibat kehilangan penutup lurang.
Malah pihak Indah Water Konsortium (IWK) juga sudah selesai melaksanakan kerja-kerja baik pulih dengan memasang penutup lurang di lokasi kejadian itu pada awal pagi tadi.
“Dimaklumkan, penutup lurang (manhole) telah hilang berkemungkinan disebabkan oleh vandalisme lalu menyebabkan penutup simen (bahagian atas) terangkat.
“Pihak Indah Water Konsortium (IWK) telah selesai memasang penutup lurang (manhole) tersebut pada awal pagi 5 Oktober 2024,” kata DBKL dalam penjelasan yang dibuat menerusi platform Facebook.

DBKL turut menggesa orang ramai agar tidak menyiarkan kandungan yang mungkin boleh mencetuskan situasi panik dengan mengambil kesempatan atas insiden di Masjid India baru-baru ini.
Terdahulu, seorang wanita warga India dikenali sebagai Vijaya Laksmi Goli dilaporkan hilang selepas terjatuh ke dalam lubang benam susulan kejadian tanah jerlus di Jalan Masjid India pada 23 Ogos lalu.
Wanita yang berusia 48 tahun itu bagaimanapun tidak dijumpai sehingga kini susulan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dihentikan selepas sembilan hari kerana tiada sebarang petunjuk berhubung kehilangan mangsa.
Baca juga: Pertama kali datang Malaysia, wanita Maghribi terkejut kaum hawa di sini tak pergi solat Jumaat